My Add

Tuesday, 1 January 2013

Sabah tingkat pemantauan sekat penularan virus H5NI

KOTA KINABALU, ISNI, 31 Disember, 2012: Kerajaan negeri Sabah mengambil langkah berwaspada dengan mempertingkatkan pemantauan terhadap ternakan ayam dan itik di kawasan sempadan terutama di Tawau dan Sandakan bagi mengelak berlaku penularan virus baharu selesema burung ke negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Yahya Hussin berkata, semua agensi berkaitan termasuk Kastam Diraja Malaysia, polis dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia turut diminta memperketatkan kemasukan ternakan atau hasil ternakan di pintu sempadan, lapangan terbang mahupun pelabuhan.

"Setakat ini, kementerian belum menerima sebarang laporan mengenai kes selesema burung, namun langkah berjaga-jaga tetap menjadi keutamaan bagi mengelak virus itu merebak ke negeri ini," katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri berkata, Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak akan terus menjalankan persampelan terhadap bangkai-bangkai burung termasuk di hutan untuk proses pengenalpastian dan pengawasan.

Sebelum ini, Bernama melaporkan ribuan itik di Yogyakarta, Jawa Tengah dan Jawa Timur mati akibat virus baharu selesema burung sejak empat bulan kebelakangan ini.

Perkara itu disahkan melalui ujian makmal dan penyelidikan yang dijalankan Pusat Veterinar (BBVet) di Yogyakarta.

Pakar epidemiologi BBVet, Putut Djoko Purnomo dipetik berkata, adalah disyaki virus baharu H5N1 itu juga menyerang spesies unggas yang lain termasuk ribuan ayam di Yogyakarta. — BERNAMAM

No comments:

Post a Comment