My Add

Wednesday 23 January 2013

Sultan Pahang mahu mangsa banjir diberi layanan istimewa


 *SULTAN Ahmad Shah berkenan beramah mesra dengan seorang mangsa banjir, Yaakub Awang, 77, semasa melawat pusat pemindahan banjir di Dewan Orang Ramai Kampung Leban Chondong, Pekan, hari ini. - BERNAMA

ROMPIN, RABU, 23 Januari, 2013: Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah hari ini bertitah, meminta semua pihak perlu memberi layanan istimewa kepada mangsa banjir yang sedang menghadapi kesukaran hidup akibat musibah itu.

Titah baginda, semua pihak perlu bertanggungjawab dalam memberikan layanan istimewa kepada mangsa banjir bagi mengurangkan bebanan yang ditanggung mangsa terbabit.

“Alhamdulillah, dari satu tahun ke satu tahun, layanan mereka (mangsa banjir) terima bertambah baik, saya mengambil kesempatan ini nak nyatakan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang membantu mangsa banjir," titah baginda ketika berkenan melawat mangsa banjir di Dewan Orang Ramai Leban Chondong di sini hari ini.

Titah baginda, berdasarkan maklum balas yang diterimanya, mangsa banjir di pusat penempatan banjir itu sangat berpuas hati dengan layanan pihak kerajaan dan agensi yang berkaitan.

Baginda juga mahu seluruh rakyat sentiasa berdoa agar negara ini sentiasa dijauhi daripada bencana besar.

Baginda bertitah, semua masjid di Pahang juga diminta melakukan solat hajat pada hari Jumaat pertama setiap bulan, bagi memohon supaya negara ini dilindungi Allah.

Dalam lawatan itu, baginda turut beramah mesra bertanya khabar kepada mangsa banjir di pusat penempatan itu.

Turut hadir Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis dan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan.

Seramai 229 mangsa banjir ditempatkan di Dewan Orang Ramai Leban Chondong melibatkan 51 keluarga dari Kampung Rantau Panjang dan Kampung Gading.

Sementara itu, menurut Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontingen Pahang, sebuah pusat banjir di Rompin iaitu di SK Pianggu yang menempatkan 103 orang daripada 27 keluarga dari Kampung Pianggu, Kasing dan Desa Wawasan Pianggu, mula ditutup 6 petang tadi.

“Sehingga jam 7 petang ini, hanya dua lagi pusat banjir masih dibuka, selain Dewan Orang Ramai Leban Chondong, satu lagi pusat ialah di Dewan Orang Ramai Teluk Gading yang menampatkan 211 orang dari Kampung Kurnia dan Kampung Sarang Tiung," katanya kepada Bernama di sini.

Tiada laporan pemindahan mangsa banjir dilaporkan di daerah lain di Pahang setakat ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment