My Add

Saturday 19 January 2013

Tabung Haji akan bangun pusat ekonomi, pendidikan di Yala

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 18 Januari, 2013: Delegasi pentadbir, pelabur dan pendidik di Yala, Thailand berminat bekerjasama dengan Malaysia khususnya menerusi Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) untuk membangunkan 120 hektar tanah di wilayah selatan negara itu supaya menjadi pusat ekonomi dan pendidikan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, cadangan projek pembangunan itu antaranya membabitkan pembinaan 3,000 kediaman, pusat beli-belah, hospital swasta, masjid, institusi pendidikan Islam dan penyediaan pelbagai prasarana.

“Lokasi kawasan itu amat strategik iaitu hanya kira-kira tujuh kilometer dari bandar Yala, berdekatan lebuh raya dan mempunyai jaringan landasan kereta api berkembar.

“Delegasi Yala melihat Tabung Haji sebagai ikon pembangunan paling sesuai untuk membangunkan kawasan itu menjadi hab ekonomi dan pendidikan. Apa pun terserah kepada Tabung Haji untuk membuat keputusan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat delegasi yang diketuai Timbalan Gabenor Yala, Udorn Noitubtim atau nama Islamnya, Mohd. Afdal di Kolej Sains Perubatan Antarabangsa Pusrawi (PICOMS) di sini hari ini.

Delegasi tersebut turut disertai Penasihat Khas Ketua Jeneral 14 Wilayah di Thailand, Leftenan Jeneral, Montree Umaree atau nama Islamnya, Abdullah.

Jamil Khir berkata, cadangan kerjasama itu diyakini dapat melonjakkan kekuatan ekonomi penduduk di Yala, sekali gus merupakan satu pengiktirafan kepada kemampuan negara di mata dunia dan umat Islam.

Sementara itu, Udorn berkata, pihaknya berminat bekerjasama dengan Malaysia untuk membangunkan Yala dalam semua aspek sehingga menjadi bandar bercahaya atau ‘Madinatunnur’.

“Selain kepercayaan terhadap kemampuan Malaysia, kedudukan negara ini yang berjiran dan pelbagai persamaan budaya diharapkan dapat memudahkan untuk merealisasikan cadangan ini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment