My Add

Tuesday 15 January 2013

Unit jaga hal ehwal pelarian perang

KOTA KINABALU, ISNIN, 14 Januari, 2013: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menangani masalah berkaitan pendatang tanpa izin (PATI) di Sabah hari ini diberitahu bahawa kerajaan pada 1976 telah menubuhkan Unit Penempatan Pelarian Perang Selatan Filipina di bawah Jabatan Ketua Menteri bagi menjaga kebajikan dan hal ehwal mereka di negeri tersebut.

Bekas ketua unit itu, Abdul Jaapar Alip berkata, bermula pada 1976 hingga 1985, kerajaan mewujudkan lima skim penempatan untuk pelarian perang dari selatan Filipina di Sabah dan diwartakan oleh kerajaan itu terletak di Telipok dan Kinarut, Kota Kinabalu; Kampung Bahagia, Sandakan; Kampung Selamat, Semporna dan Kampung Hidayah di Tawau.

Katanya, sepanjang sembilan tahun pelaksanaan skim penempatan bagi yang beragama Islam dan kategori 'Orang Teranjak' tidak beragama Islam yang tinggal merata tempat di Sabah, direkodkan jumlah mereka kira-kira 73,000 orang.

"Kesemua mereka terlebih dahulu ditemu duga oleh unit ini bagi membolehkan mereka mendapat status pelarian perang untuk ditempatkan di skim penempatan berkenaan.

"Lima syarat utama pemilihan ialah mereka mesti datang dari selatan Filipina, terlibat secara langsung dalam perang di wilayah itu, mesti datang dalam tempoh antara tahun 1970 dan 1985, beragama Islam dan sedia untuk tinggal secara tetap di Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian semasa memberi keterangan pada hari pertama prosiding RCI di hadapan panel lima anggota diketuai oleh bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Steve Shim Lip Kiong.

Yang turut dipanggil memberi keterangan ialah pakar sejarah, Profesor Datuk Dr. Ramlah Adam yang kini bertugas sebagai Fellow Utama Unit Kajian Strategik Universiti Malaysia Perlis dan Profesor Emeritus Ranjit Singh Darshan Singh yang terlibat secara langsung dalam tuntutan Malaysia terhadap Pulau Sipadan dan Ligitan di Semporna, Sabah.

Tambah Abdul Jaapar, empat syarat bagi Orang Teranjak adalah sama dengan pelarian di skim penempatan, cuma bezanya adalah pada status agama yang dianuti.

Ditanya Manoj mengenai proses pemilihan, Abdul Jaapar berkata, rakyat asing itu ditemu duga oleh pegawai terlatih unit itu dan semasa proses itu mereka tidak membawa sebarang dokumen bagi tujuan pengesahan sebaliknya pegawai berkenaan akan mengenal pasti melalui pertuturan dan latar belakang mereka.

"Selepas proses itu selesai, pelarian diberikan resit akuan pendaftaran yang mempunyai nombor siri dan gambar, borang mereka akan dihantar kepada Jabatan Imigresen bagi dikeluarkan pas lawatan kerja sementera (IMM 13).

"Bagi yang tinggal di skim penempatan, mereka akan diberikan sekeping kad pengenalan, bermakna mempunyai dua dokumen termasuk IMM 13," katanya yang menafikan kad pengenalan itu mempunyai fungsi sama seperti kad pengenalan yang dimiliki oleh warganegara yang sah.

Sementara itu, Abdul Jaapar memaklumkan, skim penempatan itu dihentikan selepas September 1985, iaitu semasa Sabah berada di bawah pemerintahan Kerajaan Parti Bersatu Sabah (PBS).

"Namun antara 1987 dan 1992, kerajaan negeri membuat gerakan pendaftaran orang asing di Sabah dalam dua fasa iaitu bancian setiap rumah yang diduduki rakyat asing dan fasa kedua, proses pendaftaran," katanya.

Sementara itu, Ramlah mencadangkan supaya kerajaan melaksanakan tindakan afirmatif dengan memberi pengiktirafan politik kepada golongan berkenaan dengan mengambil kira faktor kemanusiaan berdasarkan kepada kaitan hubungan sejarah, perkongsian warisan budaya dan keselamatan serta kedaulatan negara ini.

"Isu ini hanya timbul selepas penubuhan Malaysia 1963, sebelum itu, ia tidak menjadi masalah. Walaupun pihak berkuasa mengusir pulang, membuat pelbagai akta tetapi mereka akan tetap datang, malah proses itu melibatkan kos amat tinggi yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan.

"Dalam apa-apa tindakan, soal keselamatan dan kedaulatan masih perlu diberikan keutamaan. Kerajaan pada masa sama juga perlu melaksanakan pelbagai program termasuk program memakmurkan negara jiran seperti yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap kesinambungan Bangsamoro baru-baru ini," katanya.

Ramlah turut meminta isu itu ditangani secara berhemah dan bukannya bermotifkan politik. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment