Polis Sabah tahan 111 individu di kampung air Semporna
KOTA KINABALU, RABU, 18 Disember, 2013: Polis Sabah menahan sebanyak 111 individu, termasuk empat lelaki yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, dalam Op Cantas Khas di sebuah perkampungan air di Semporna pada Ahad lepas.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata empat lelaki berumur dalam lingkungan 21 hingga 34 tahun itu turut ditahan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 kerana memiliki bahan membuat bom ikan dalam operasi pukul 4 pagi itu.
"Sementara itu, 107 orang pendatang tanpa izin (PATI) yang ditahan, dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk disiasat di bawah Akta Imigresen," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan program Derma Darah anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kompleks Karamunsing di sini hari ini.
Hamza berkata pihaknya akan meneruskan operasi di kawasan-kawasan terpilih terutama di pulau dan perkampungan air di pantai timur Sabah selain Ops Gasak di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) bagi membersihkan PATI di sekitar Kawasan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone). - BERNAMA
No comments:
Post a Comment