My Add

Wednesday, 18 December 2013

Prancais Malaysia diterima dengan baik

* SEKTOR Makanan dan Minuman merupakan sektor terbesar dalam kalangan francais yang didaftarkan di Malaysia. - Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR, SELASA, 17 Disember, 2013: Francais Malaysia diterima dengan baik dan boleh dilaksanakan dengan mudah di luar negara tanpa sebarang kesukaran disebabkan oleh sistem francaisnya yang berstruktur, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek.

Beliau berkata, sistem francais Malaysia distrukturkan dengan baik dan mematuhi sistem antarabangsa kerana industri ini dikawal selia di bawah Akta Francais Malaysia 1998 yang melindungi kedua-dua pemilik dan pemegang francais.

"Pada masa ini, 55 jenama francais tempatan Malaysia telah mengembangkan perniagaan masing-masing ke 52 negara dengan sejumlah 1,988 cawangan di seluruh dunia.

"Daripada jumlah ini, sembilan jenama francais Malaysia dengan 158 cawangan beroperasi di Emiriyah Arab Bersatu," katanya pada seminar Perangkaian Perniagaan Francais sempena Pameran dan Kongres Timur Tengah OIC Kedua di Sharjah, Emiriyah Arab Bersatu, hari ini.

Hasan berkata, industri francais di Malaysia kini memasuki fasa matang.

Sejak 1990, banyak jenama francais tempatan berkembang di dalam dan luar negara.

Hasan berkata, kerajaan Malaysia memberikan sokongan yang teguh kepada perniagaan tempatan melalui pelbagai bantuan dan inisiatif untuk mengembangkan perniagaan francais dan bersaing dalam pasaran global.

Antara inisiatif itu ialah platform untuk memperkenalkan dan memasarkan perniagaan francais seperti menganjurkan ekspo untuk mempermudah syarikat-syarikat tempatan mengambil bahagian dalam acara-acara francais antarabangsa.

"Hingga hari ini, sebanyak 690 francais telah didaftarkan di bawah Pendaftar Francais.

"Sektor Makanan dan Minuman merupakan sektor terbesar dalam kalangan francais yang didaftarkan iaitu 35 peratus, diikuti oleh sektor perkhidmatan dan penyenggaraan 12 peratus, serta pakaian dan aksesori 11 peratus," katanya.

Hasan berkata kerajaan ingin menggalakkan perniagaan francais dalam sektor-sektor baharu dan sedang muncul, khususnya dalam industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pelancongan dan teknologi tenaga boleh baharu.

"Kerajaan akan sentiasa menyokong dan terus membangunkan industri francais Malaysia agar ia boleh lebih mudah diakses dan boleh mewujudkan lebih banyak peluang bagi semua," tegas beliau.

Pada pameran tiga hari bermula semalam itu, 13 syarikat francais Malaysia mempamerkan produk dan perkhidmatan "Buatan Malaysia" masing-masing. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment