My Add

Thursday, 26 December 2013

SPR akan laksana syor PSC berhubung pendaftaran pengundi

KUALA LUMPUR, RABU, 25 Disember, 2013: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan melaksanakan beberapa syor oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya secara sistematik dan mengikut proses undang-undang.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, antara syor yang diberi perhatian oleh SPR adalah pra-pendaftaran pengundi bagi warga Malaysia berumur 20 tahun dan pendaftaran pengundi automatik bagi warga berumur 21 tahun.

"Syor yang turut diteliti dengan mendalam adalah penyusunan semula SPR kepada tiga suruhanjaya mengikut tiga fungsi iaitu menjalankan pilihan raya, membuat persempadanan semula dan pendaftaran pengundi," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tahun lalu, Dewan Rakyat meluluskan 22 syor PSC Penambahbaikan Proses Pilihan Raya dengan beberapa daripadanya dilaksanakan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) termasuk pengunaan dakwat kekal.

Menurut Abdul Aziz, pelaksanaan beberapa syor perlu dilakukan secara teliti dan kemas kerana memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan, undang-undang negara dan garis panduan sedia ada.

Katanya, antara peraturan yang SPR tertakluk ketika ini adalah Akta Pilihan Raya 1958, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981, Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003.

"Dari segi pelaksanaan undang-undang ini, SPR sentiasa mengambil kira maklum balas dan cadangan membina daripada semua pihak tidak kira daripada parti politik, pertubuhan bukan kerajaan, jabatan-jabatan kerajaan ataupun mana-mana individu.

"Telinga kita ini mendengar dan mata kita terbuka luas untuk menerima kritikan membina dan cadangan yang baik untuk masa depan negara," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment