My Add

Thursday, 26 December 2013

Jangan tuduh kerajaan pilih kasih - Shahidan

* SHAHIDAN Kassim (tiga dari kiri) menyampaikan bantuan baju sekolah kepada kanak-kanak dalam majlis Bantuan Baju Sekolah Parlimen Arau di Jejawi, Arau, Perlis, semalam.
ARAU, RABU, 25 Disember, 2013: Masyarakat dinasihatkan tidak membuat tuduhan melulu kononnya kerajaan mengamalkan dasar pilih kasih dalam pengagihan bantuan kepada golongan miskin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, selama ini, kerajaan tidak pernah membezakan penerima bantuan daripada aspek kepentingan atau fahaman mereka.

Beliau berkata, semua kaum yang layak akan tetap diberikan bantuan supaya beban mereka dapat diringankan.

"Tuduhan kerajaan pilih kasih itu hanya mereka sahaja yang tahu.

"Pastinya tuduhan itu datang daripada mereka yang mempunyai sikap suka memberontak," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penyampaian Bantuan Baju Sekolah Parlimen Arau di Jejawi Permatang, dekat sini hari ini.

Mengenai majlis itu, Shahidan berkata, seramai 1,000 murid sekolah rendah di Parlimen Arau menerima bantuan pakaian sekolah membabitkan peruntukan RM30,000.

Katanya, selepas ini, pengagihan bantuan seperti itu akan menyusul untuk murid sekolah rendah di Parlimen Kangar dan Padang Besar.

"Kerajaan akan pastikan semua pelajar ini mendapat bantuan supaya mereka boleh belajar dengan lebih sempurna," katanya.

Shahidan berkata, bantuan juga tidak hanya diberikan menerusi majlis tertentu sebaliknya nasib golongan pelajar tetap dibela jika dimaklumkan kepada pihaknya.

Sehubungan itu, beliau meminta ibu bapa supaya sentiasa memberikan bimbingan bagi memastikan anak mereka menuntut ilmu sehingga berjaya.

Katanya, hanya ilmu sahaja mampu mengubah kehidupan keluarga sekali gus melahirkan warga yang berguna untuk negara. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment