* OHDM Qhairol Iqhssan Yusof ketika hadir di Mahkamah Majistret Ampang, semalam. |
Arween atau nama sebenarnya, Mohd. Qhairol Iqhssan Yusof, 28, yang bekerja sebagai pegawai bank ketika kejadian mengaku bersalah atas tujuh daripada sembilan pertuduhan tersebut dan mengaku tidak bersalah bagi dua lagi pertuduhan.
Dia mengaku bersalah atas empat pertuduhan menipu Afiq Adham Mustamin, 28, Nur Hidayah Mohd. Yusof, 30, Mohammad Faizal Ahmad, 33, dan Mohd. Afendy Izani Arizal, 35, sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang tunai keseluruhannya berjumlah RM139,700 kepadanya sebagai bayaran pendahuluan pinjaman perumahan.
Mohd. Qhairol yang berasal dari Sandakan, Sabah turut mengaku bersalah atas dua tuduhan menipu Nazim Mustapah, 28, dan Rosli Ahmad, 41, dengan memperdaya mereka untuk mempercayai yang dia adalah wakil pihak Ambank yang mengurus dan meluluskan permohonan pinjaman perumahan yang dimohon.
Perbuatannya mendorong kedua-dua mangsa masing-masing menyerahkan RM30,950 dan RM17,000 kepadanya.
Tertuduh yang pernah tampil dengan single pertama kumpulan itu berjudul 'Pengakuan' turut mengaku bersalah terhadap tuduhan menipu Mohd. Firdaus Satir @ Satar, 29, sehingga mendorong mangsa menyerahkan RM8,750 sebagai bayaran yuran guaman kepadanya.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Ambank cawangan Bandar Baru Ampang di 5G dan 7G, Jalan Wawasan Ampang 2/10, Bandar Baru Ampang di sini antara 31 Mei dan 30 September 2013.
Sementara itu, Mohd. Qhairol mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan menipu rakannya yang juga ahli kumpulan Tiga, Maya Hariyanto, 21, sebanyak RM26,500 sebagai bayaran pendahuluan pinjaman perumahan pada 10 Julai 2013 di tempat yang sama.
Tertuduh juga mengaku tidak bersalah bagi tuduhan menipu Hairul Faizal Mohd. Siraj, 32, sehingga mendorong mangsa menyerahkan RM12,500 kepadanya sebagai bayaran penuh pinjaman peribadi pada pukul 2.30 petang, 28 Jun 2013 di bank tersebut.
Bagi kesemua pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan serta denda.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ummi Aliza Ab. Kadir yang mengendalikan pendakwaan memohon satu tarikh sebutan bagi mengemukakan fakta sebelum hukuman dijatuhkan terhadap tertuduh.
Beliau turut mencadangkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan serta syarat tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri ke balai polis berdekatan sebulan sekali.
Peguam bela S. Parvin yang mewakili Mohd. Qhairol pula memohon jaminan dikurangkan kepada RM10,000 bagi kesemua pertuduhan kerana anak guamnya mengaku bersalah dan menjimatkan masa mahkamah.
Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman membenarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM171,000 dengan dua penjamin bagi kesemua pertuduhan beserta syarat jaminan tertuduh perlu menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berdekatan seminggu sekali.
Mahkamah menetapkan 7 Februari ini untuk pihak pendakwaan mengemukakan fakta kes sebelum menjatuhkan hukuman bagi tujuh pertuduhan yang diakui bersalah oleh tertuduh.
Mohd. Qhairol yang gagal membayar wang jaminan kemudian dihantar ke Penjara Sungai Buloh. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment