Oleh NORHIDAYU MOHD. HASSAN
* WAN Abdullah Ishak (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA |
Dalam serbuan selama empat hari tersebut, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM183,500 dan lima kenderaan mewah pelbagai jenis bernilai hampir RM1 juta.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Wan Abdullah Ishak berkata, hasil tiga serbuan itu, pihaknya menganggarkan jumlah keseluruhan rampasan adalah bernilai kira-kira RM2.23 juta.
Beliau berkata, enam daripada 18 individu berusia antara 24 hingga 61 tahun tersebut merupakan warga Singapura dan Indonesia.
"Dalam serbuan di sebuah banglo tiga tingkat di Seputeh, di sini awal pagi pada Sabtu lalu, pihaknya menahan dua lelaki warga Singapura, tiga lelaki Indonesia dan seorang wanita tempatan yang disyaki mengedar dadah bagi pasaran tempatan dan Singapura.
"Antara yang dirampas adalah dadah jenis syabu seberat 4.73 kilogram, Eramin 5 (966 biji) dan pil ekstasi (218 biji) yang disimpan di tingkat tiga kediaman itu dengan jumlah keseluruhan bernilai RM748,040.
"Polis turut menyita sebuah kereta Mercedes-Benz S350 dan Volvo yang menggunakan nombor pendaftaran Singapura selain kereta Honda Civic, Volvo S40 dan BMW 320i yang kesemuanya bernilai hampir RM1 juta," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Tambah Wan Abdullah, modus operandi sindiket yang didalangi warga Singapura itu adalah dengan menyewa rumah mewah yang sunyi dan berasingan serta sukar dikesan polis bagi mengelakkan kegiatan haram mereka dikesan.
Menurut beliau, dalam serbuan kedua di sebuah kondominium di Taman Desa, di sini pukul 2 pagi pada 21 Januari lalu, pihaknya menahan empat lelaki dan empat wanita tempatan serta seorang lelaki warga Singapura.
"Turut dirampas bersama mereka adalah sebanyak 2,751 pil ekstasi dan ketamin seberat 1,224.5 gram bernilai RM149,040 serta wang tunai sejumlah RM3,500.
Dalam serbuan pada 22 Januari pula, polis menahan tiga lelaki tempatan di hadapan Kelab Connaught, Taman Bukit Cheras, di sini kerana memiliki 5,000 biji pil ekstasi dianggarkan bernilai RM200,000.
"Salah seorang suspek didapati memiliki rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 7(2) Akta Judi Rumah Terbuka 1953 dan kesemua mereka direman selama enam hari sehingga semalam," katanya.
Beliau berkata, ujian saringan air kencing ke atas kesemua 18 individu itu mendapati seramai 11 daripadanya positif dadah dan kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment