My Add

Wednesday, 29 January 2014

Isu Kalimah Allah: Perdana Menteri minta umat Islam bertenang

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA

 * NAJIB Tun Razak bersama Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Pemangku Sultan Perak, Raja Dr. Nazrin Shah serta Datuk Richard Curtis (kiri) melihat buku Maps of Malaya and Borneo selepas melakukan pelancaran di Hotel Concorde Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/Aizzul A. Majid
KUALA LUMPUR, ISNIN, 27 Januari, 2014: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan pihak berkuasa mengambil tindakan memb teras sebarang perbuatan provokasi agar tidak berulang isu penghinaan kalimah Allah sebagaimana yang berlaku di Pulau Pinang.

Pada masa yang sama, beliau meminta orang ramai terutamanya umat Islam bertenang dan jangan mudah melatah kerana jika mereka membenarkan diri dikuasai perasaan amarah, keamanan serta keharmonian negara ini yang dikecapi sejak sekian lama akan musnah.

Katanya, kerajaan memandang serius kejadian provokasi agama di Pulau Pinang dan berikrar akan melakukan apa sahaja yang termampu berdasarkan undang-undang sedia ada untuk memastikan keamanan serta keharmonian di negara ini tidak terjejas.

"Saya berharap tiada pihak bertindak balas atau mengeruhkan lagi suasana. Biar pihak berkuasa ambil tindakan selanjutnya. Ini masa untuk kita berada dalam keadaan tenang dan jangan melatah kerana ia boleh membawa kemudaratan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam beberapa kain rentang tertera ungkapan 'Allah is great' (Allah itu hebat) dan 'Jesus is the son of Allah' (Jesus adalah anak lelaki Allah) dikesan sengaja dipasang pihak tertentu di Gereja St. John Britto, Gereja Assumption dan Gereja The Immaculate Conception di Pulau Pinang.

Perdana Menteri sebelum itu melancarkan buku 'Maps of Malaya and Borneo: Discovery, Statehood and Progress' iaitu hasil koleksi lebih 160 peta-peta yang dimiliki Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Datuk Richard Curtis.

Mengulas lanjut Najib berkata, pendirian kerajaan dalam isu kalimah Allah jelas iaitu ia hak milik umat Islam keistimewaan itu akan terus dipertahankan manakala Penyelesaian 10 Perkara yang dipersetujui kerajaan Pusat pula tertakluk kepada enakmen dan undang-undang di setiap negeri.

Ditanya mengenai pendangan banyak pihak kejadian provokasi di Pulau Pinang itu berpunca daripada sikap kurang bertegas kerajaan, beliau berkata, biar pihak berkuasa menyiasat terlebih dahulu dan jangan mudah membuat andaian kerana mungkin andaian tersebut tersasar.

Menyentuh mengenai tawaran Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengadakan permuafakatan nasional, Najib mempersoal mengapa perkara itu ditimbulkan sekarang kerana cadangan tersebut sudah dikemukakan selepas pilihan raya umum lalu.

"Apa pun biarlah saya runding dengan jemaah menteri. Kita sudah sebut dulu (permuafakatan nasional). Prasyaratnya mesti terima keputusan rakyat. Namun pembangkang tetap tuduh kita menipu termasuk kononnya 40,000 pengundi Bangladesh yang ternyata fitnah," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment