My Add

Wednesday 29 January 2014

Anwar ingin jadi MB, boleh lantik Azmin jadi timbalan - Nazri

GENTING HIGHLANDS, SELASA, 28 Januari, 2014: Pemilihan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang nanti, mencerminkan keseriusan krisis dalam parti itu, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz .

Beliau berkata, keputusan Anwar untuk menerima pencalonan bagi kerusi DUN itu sebenarnya untuk menjaga hubungan baiknya sejak sekian lama dengan anggota Parlimen Gombak, Azmin Ali.

"Jika Anwar menang dalam pilihan raya itu nanti dan menjadi Menteri Besar (MB) Selangor, dengan itu beliau boleh melantik Azmin sebagai timbalannya kerana Azmin tidak diterima sebagai calon bagi jawatan MB," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Ekspo Transformers Malaysia 2014 di Arena of Stars, di sini hari ini.

Kerusi DUN itu dikosongkan semalam oleh penyandangnya Lee Chin Cheh dari PKR, memberikan alasan “demi kepentingan bersama dan semua dan bagi memantapkan kemampuan Pakatan untuk berkhidmat kepada rakyat".

"Amat jelas, terdapat masalah dalaman yang serius dalam PKR dan kita semua tahu bahawa MB (Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) tidak bercakap benar apabila beliau berkata GM PKNS (Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor) yang telah meminta Azmin meletakkan jawatan (anggota lembaga pengarah PKNS)," kata Nazri. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment