My Add

Wednesday 29 January 2014

Selesaikan masalah pembangkang sebelum ajak BN berdialog

KUALA LUMPUR, ISNIN, 27 Januari, 2014: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa menyelesaikan masalah yang ditimbulkan parti pembangkang sehingga berlaku ketegangan antara kaum dan agama sekarang sebelum mengajak Barisan Nasional (BN) untuk berdialog.

Ketua Penerangan Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak), Datuk Abdul Rahman Sulaiman berkata, pakatan pembangkang yang diketuai Anwar merupakan pihak yang telah memulakan kempen membenci sehingga berlaku suasana politik huru-hara sekarang.

Menrutnya, kejayaan dialog tersebut bergantung kepada keikhlasan Anwar.

"Kini Anwar mula sedar kesan daripada kempen membenci yang diamalkan mereka sebelum ini menyebabkan keadaan huru-hara sekarang dan beliau mahu memperbetulkan kerosakan yang dilakukannya sendiri.

"Tuduhan bahawa BN menolak tawaran berdialog itu tidak benar kerana seperti sedia maklum UMNO sendiri pernah mengajak Pas untuk mengadakan muzakarah tetapi tidak menjadi kenyataan kerana ditentang PKR (Parti Keadilan Rakyat) dan DAP," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Minggu lalu, Anwar serta pemimpin utama pakatan pembangkang dilaporkan mengajak BN untuk berdialog bagi mengatasi unsur menggugat perpaduan, kebencian antara agama tetapi pada masa sama menuding jari kepada UMNO berhubung ketegangan yang berlaku kebelakangan ini.

Setiausaha Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Syed Hassan Syed Ali pula mengingatkan kerajaan agar tidak terperangkap dengan permainan politik pembangkang kerana segala yang berlaku sekarang berpunca daripada mereka sendiri.

"Pihak tidak bertanggungjawab ini semakin berani memainkan isu agama dan kaum adalah berpunca daripada sikap pemimpin pembangkang seperti menyokong portal-portal berita pro mereka yang jelas sengaja menyemarakkan api perkauman.

"Pembangkang sendiri kena perbetulkan dan tidak perlu berdialog. Jika semua pihak patuh undang-undang khususnya pemimpin pembangkang sudah pasti keadaan sekarang tidak berlaku," jelasnya.

Sementara itu Yang Dipertua Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM), Datuk Adiwijaya Abdullah pula menyifatkan Anwar dan pakatan pembangkang mula bimbang dengan ketegangan antara kaum serta agama yang berjaya diwujudkan hasil kempen membenci mereka sebelum ini.

"Saya tidak yakin Anwar ikhlas untuk mengadakan dialog dengan BN dalam isu ketegangan kaum dan agama," katanya.

"Sebaliknya mereka mahu menunjukkan kononnya kerajaan tidak bersedia bekerjasama pakatan pembangkang bagi menyelesaikan isu ketegangan kaum dan agama yang berlaku sekarang," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment