My Add

Wednesday 29 January 2014

Perjuangan PKR lebih banyak berkisar soal peribadi - Muhyiddin

PUTRAJAYA, SELASA, 28 Januari, 2014: Rakyat Selangor seharusnya mengambil iktibar daripada perkembangan semasa di negeri itu untuk melihat dengan jelas bahawa perjuangan PKR sebenarnya lebih banyak berkisar soal peribadi daripada perjuangan untuk rakyat, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Selangor menyaksikan perkembangan politik yang agak gawat dan gamat sejak beberapa bulan lepas, apabila kepimpinan PKR dilihat banyak berbalah sesama sendiri, langsung tidak menampakkan sebarang permuafakatan antara mereka.

Katanya, mereka mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dalam pelbagai isu, mengabaikan tanggungjawab dalam kepimpinan negeri, di samping mengenepikan pelbagai isu yang timbul disebabkan konflik sesama sendiri.

"Saya tidak tahu adakah itu gambaran sebenar (sehingga) mengakibatkan mungkin adanya pilihan raya kecil (Dewan Undangan Negeri) nanti, tapi bagi saya ini iktibar bagi orang Selangor untuk melihat bahawa sebenarnya perjuangan PKR ini lebih banyak berkisar soal peribadi daripada perjuangan untuk rakyat," katanya dalam satu persidangan media selepas menyampaikan perutusan Tahunan 2014 Kementerian Pendidikan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini.

Beliau berkata demikian semasa mengulas tindakan wakil rakyat PKR Lee Chin Cheh yang meletak jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Kajang semalam, yang menimbulkan pelbagai spekulasi kemungkinan jawatan itu diambil alih Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment