My Add

Wednesday 29 January 2014

ADUN Kajang letak jawatan

Oleh ZULKIFLI SAINUDDIN

 Lee Chin Cheh
SHAH ALAM, ISNIN, 27 Januari, 2014: Keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Lee Chin Cheh meletakkan jawatan itu berkuat kuasa hari ini menguatkan lagi spekulasi berhubung kedudukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Ia memandangkan terdapat spekulasi yang mengaitkan tindakan Chin Cheh tersebut dengan isu desakan pemimpin-pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya Abdul Khalid berundur.

Melalui peletakan jawatan itu, kepimpinan kanan PKR didakwa akan meletakkan calon yang bakal menggantikan Abdul Khalid jika PKR mengekalkan kerusi DUN Kajang dalam pilihan raya kecil yang bakal diadakan.

Bagaimanapun dalam surat yang dihantar oleh Chin Cheh kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Hannah Yeoh, beliau tidak menyatakan sebab peletakan jawatannya.

"Dia (Chin Cheh) telah datang sendiri ke pejabat saya hari ini untuk menyerahkan surat peletakan jawatan tersebut.

"Peletakan jawatan ini adalah sah kerana mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor LXVIII (Perkara 68), seseorang ADUN boleh melepaskan jawatannya melalui surat yang ditandatanganinya dan diserahkan kepada Speaker," kata Hannah pada sidang akhbar di pejabatnya, di sini.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung peletakan jawatan itu sebaliknya mahu pihak media bertanyakan sendiri kepada Chin Cheh.

Sementara itu Chin Cheh dalam kenyataannya memberitahu, keputusannya mengosongkan kerusi DUN Kajang adalah untuk kepentingan bersama dan mengukuhkan kebolehan pakatan pembangkang berkhidmat untuk rakyat Selangor.

"Saya mengucapkan jutaan terima kasih dan terhutang budi kepada semua pengundi di Kajang yang telah memberi peluang kepada saya menjadi wakil rakyat.

"Saya terharu dengan kemurahan hati pengundi-pengundi di Kajang yang telah memberi kerjasama dan kepercayaan kepada saya selama ini," katanya.

Chin Cheh sebelum dikaitkan dengan pendedahan seperti mana dilaporkan oleh sebuah akhbar bahasa Cina baru-baru ini berhubung desakan PKR Selangor yang mahukan Abdul Khalid melepaskan jawatan.

Menurut laporan itu, sekiranya kepemimpinan pakatan pembangkang bersetuju dengan cadangan berkenaan, Abdul Khalid akan mengumumkan peletakan jawatannya dalam tempoh terdekat atas sebab-sebab kesihatan.

Langkah Abdul Khalid itu menurut laporan berkenaan adalah bagi mengelakkan ADUN Bukit Antarabangsa, Azmin Ali dan para penyokongnya mengemukakan undi tidak percaya terhadap Abdul Khalid dalam Sidang DUN nanti.

Berikutan pendedahan tersebut, Chin Cheh difahamkan dipanggil oleh Majlis Pimpinan PKR bagi memberi penjelasan.

Kedudukan Abdul Khalid menjadi persoalan, selepas mesyuarat PKR Selangor sebulat suara mahu beliau digantikan berikutan isu pengguguran Azmin sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Malah, sebelum ini Abdul Khalid juga disifatkan oleh beberapa pemimpin PKR menimbulkan masalah kepada parti berikutan cara beliau mengendalikan pentadbiran kerajaan negeri.

Menurut mereka, banyak tindakan Abdul Khalid tidak menepati aspirasi parti termasuklah pengumuman kenaikan gaji menteri besar dan wakil rakyat Selangor, baru-baru ini yang turut menerima kritikan hebat daripada Azmin - UTUSAN. 

No comments:

Post a Comment