My Add

Wednesday, 29 January 2014

Peneroka kereta terhumban ke gaung ditemui selamat

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

 * IDRIS Ibrahim (kanan) dijumpai oleh seorang mandur ladang, pagi semalam. Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang selepas keretanya terbabas ke dalam gaung, malam kelmarin.
KEMAMAN, ISNIN, 27 Januari, 2014:- Misteri kehilangan seorang peneroka dalam keretanya yang remuk selepas terhumban ke dalam gaung sedalam tujuh meter di Kilometer 24 Jalan Mak Lagam-Bandar Ceneh Baru malam semalam terjawab apabila ditemui sedang berjalan dalam keadaan lemah kira-kira pukul 10 pagi hari ini.

Mangsa, Idris Ibrahim, 58, yang cedera di leher dan bengkak di muka ditemui oleh seorang mandur ladang sawit, kira-kira 500 meter dari lokasi keretanya selepas gerakan mencari dilakukan selama kira-kira lapan jam.

Kereta yang dipandunya terbabas ke dalam gaung kira-kira pukul 9 malam ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Felda Cerul 1 selepas menjalani rawatan dialisis di Hospital Kemaman.

Adik mangsa, Nazri, 43, berkata, dia bersyukur kerana abangnya itu akhirnya ditemui dalam keadaan selamat tanpa kecederaan parah walaupun kereta remuk teruk.

Katanya, dia bersama sepupu, Alias Sulong, 46, dan seorang lagi abangnya, Mohd Nor, 44, menjumpai kereta mangsa kira-kira pukul 1.30 pagi setelah kakak iparnya memaklumkan abangnya masih tidak pulang ke rumah lewat malam.

"Semasa melalui lokasi kejadian ini, kami terpandang lambang kereta Proton Wira yang tercabut di tepi jalan dan terdapat kesan penghadang jalan besi dirempuh.

Selepas kami menyuluh ke dalam gaung, kami lihat kereta tetapi ketika turun, didapati dia tiada di situ.

''Selain menghubungi pihak Bomba, kami juga menghubungi Hospital Kemaman, Hospital Kuantan dan Klinik Cheneh untuk memeriksa jika abang dihantar ke sana tetapi jawapan yang diterima menghampakan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian awal pagi tadi.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cheneh, Mohamad Jusoh berkata, usaha mencari dan menyelamat mangsa dilakukan sekitar satu kilometer dari kereta dijumpai sebelum operasi ditangguhkan pada pukul 5 pagi dan disambung semula pukul 7 pagi dengan kerjasama polis," katanya.

Ketika operasi mencari dilakukan mangsa dikatakan berada di atas bukit kira-kira 500 meter dari lokasi keretanya dan mangsa dijumpai selepas dia turun dari bukit itu pada pukul 10 pagi sebelum dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk mendapatkan rawatan lanjut. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment