My Add

Wednesday 29 January 2014

Superb buka permohonan 2 Feb.

Oleh KAMIL MASLIH

 * NAJIB Tun Razak bersama ahli-ahli Majlis Ekonomi Bumiputera menunjukkan Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (Superb) iaitu geran bernilai RM500,000 untuk usahawan baharu selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam. Turut sama, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (empat dari kiri), Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa (lima dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera, Husni Salleh (empat dari kanan). - BERNAMA
KUALA LUMPUR, ISNIN, 27 Januari, 2014: Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan program Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (Superb) yang menyediakan geran sehingga RM500,000 akan membuka permohonan penyertaannya bermula 2 Februari ini.

Perdana Menteri berkata, kerajaan menerusi Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) menyokong idea perniagaan yang kreatif serta inovatif daripada usahawan muda bumiputera dan menyediakan dana sebanyak RM100 juta untuk tempoh tiga tahun ini menerusi program Superb.

"Selain membantu syarikat-syarikat maju dan kukuh untuk berkembang, kerajaan juga menyedari bahawa ramai anak-anak muda yang mempunyai idea kreatif dan inovatif tetapi menghadapi cabaran untuk membangunkan idea tersebut dalam bentuk perniagaan," katanya dalam satu kenyataan selepas Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera kali ketiga di Putrajaya di sini hari ini.

Menurut Perdana Menteri, usahawan-usahawan muda bumiputera yang layak untuk program Superb akan dipilih oleh Jawatankuasa Pemilihan yang dianggotai sekumpulan panel usahawan yang berjaya dalam perniagaan masing-masing.

Kata Najib, penubuhan Superb yang diumumkan pada Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera pada 14 September tahun lalu di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam itu dibuka kepada mana-mana usahawan muda Bumiputera atau syarikat-syarikat Bumiputera yang beroperasi kurang tiga tahun.

Tambahnya, program Superb yang akan berjalan selama tiga tahun itu menyasarkan sebanyak 300 usahawan muda Bumiputera dapat dibantu dengan sasaran untuk tahun ini adalah 60 usahawan atau syarikat.

"Maklumat lanjut mengenainya akan dibuat melalui ikan di akhbar-akhbar harian pada 2 Februari ini. Kita berharap inisiatif-inisiatif ini akan memberi manfaat kepada pelbagai kelompok usahawan Bumiputera sama ada yang telah berkembang atau baharu," katanya.

Dalam pada itu Najib memberitahu, kerajaan sentiasa memberi perhatian kepada pembangunan usahawan bumiputera dan telah meluluskan Dana Mudah Cara Bumiputera sebanyak RM1.26 bilion yang melibatkan 116 syarikat sejak Ogos 2011 hingga bulan Januari ini.

Tambah beliau, jumlah Dana Mudah Cara yang diluluskan melalui Teraju adalah RM569.3 juta manakala melalui Unit Kerjasama Awam-Swasta (UKAS) adalah sebanyak RM793.3 juta.

"Kerajaan telah memperkenalkan Dana Mudah Cara iaitu geran sehingga 15 peratus daripada keseluruhan kos projek yang bernilai sekurang-kurangnya RM5 juta dan mempunyai komponen infrastruktur, jentera dan peralatan," katanya.

Katanya, kerajaan sedar bahawa sokongan perlu diberikan kepada usahawan Bumiputera untuk meningkatkan pelaburan melalui pembiayaan inisiatif swasta dan sekali gus membina kapasiti golongan itu untuk bersaing di pasaran terbuka.

Antara sektor terlibat bagi pengagihan Dana Mudah Cara adalah sektor minyak, gas dan tenaga dengan dana sebanyak RM122.4 juta untuk 22 projek, sektor pembangunan hartanah dan pembinaan (RM116.8 juta untuk 20 projek) serta sektor pemborong dan peruncitan (RM103 juta untuk 13 projek).

Sementara itu Najib memberitahu, pembiayaan bernilai RM453.3 juta dengan melibatkan 126 permohonan telah diluluskan di bawah Program Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi (Dana Teras) sejak Ogos 2012 sehingga Januari ini.

"Sehingga kini terdapat 520 buah syarikat berada di bawah program ini dan sebagai sokongan untuk meningkat daya saing syarikat, kerajaan telah mewujudkan Dana Teras untuk membiayai modal kerja dan pemerolehan aset.

"Jumlah keseluruhan Dana Teras yang disediakan adalah RM1.64 bilion dan disalurkan melalui tiga buah institusi kewangan iaitu SME Bank, RHB Islamic dan Malaysian Industrial Development Finance (MIDF)," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment