My Add

Wednesday 29 January 2014

Khalid sedia berundur tetapi bersyarat

KUALA LUMPUR 27 Januari, 2014:- Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang riwayat politiknya kini diibaratkan seperti berada di hujung tanduk selepas ditekan hebat pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), hari ini menyatakan kesediaannya untuk berundur tetapi dengan bersyarat.

Syaratnya jelas Abdul Khalid, pengunduran beliau itu mesti mendapat persetujuan daripada kesemua komponen parti dalam pakatan pembangkang terlebih dahulu, selain perlu mendapat perkenan daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Proses pelantikan menteri besar ini memerlukan persetujuan antara pakatan. Lepas itu, orang yang nak dipilih akan ditentukan oleh ketiga-tiga parti dan kemudiannya mereka akan memberitahu Sultan Selangor untuk perkena, ISNIN,n. Jadi, banyak tata cara. Oleh sebab itu, jangan spekulasi terlalu banyak.

"Namun itu (melepaskan jawatan) boleh dilakukan jika mendapat persetujuan ketiga-tiga parti sebab pelantikan saya sebagai menteri besar ditandatangani ketiga-tiga pemimpin parti. Jadi ketiga-tiga (pihak) kena setuju," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui ketika hadir pada majlis pelancaran buku bertajuk 'Maps of Malaya and Borneo: Discovery, Statehood and Progress' iaitu hasil koleksi lebih 160 peta-peta yang dimiliki Sultan Sharafuddin dan Datuk Richard Curtis oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Diminta mengulas tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Lee Chin Cheh meletakkan jawatan, Abdul Khalid berkata, beliau tidak terkejut kerana sudah terdapat ura-ura mengenainya dan memberitahu perkara itu akan dibincang dalam mesyuarat Biro Politik PKR nanti.

"Saya pun tak tahu (kenapa Chin Cheh letak jawatan). Perkara ini akan dibincangkan Biro Politik parti kerana beliau mewakili PKR. Kita tengoklah nanti apa yang akan diumumkan Presiden, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

Ditanya sama ada peletakan jawatan Chin Cheh adalah perancangan PKR untuk membolehkan Anwar bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dan kemudian diangkat menjadi menteri besar menggantikan beliau, Abdul Khalid berkata, perkara itu tidak timbul.

"Itu kita belum bincang (Anwar akan menggantikan beliau). Perbincangan melibatkan ketiga-tiga parti untuk tujuan itu juga, tiada lagi setakat ini," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment