My Add

Wednesday 29 January 2014

Subsidi tersasar dipulang kepada golongan sasar

KOTA KINABALU, ISNIN, 27 Januari, 2014: Subsidi 'tersasar' sebanyak RM2 bilion sebulan diperuntukan kerajaan bagi bahan bakar sebelum ini yang banyak dimanfaatkan oleh golongan kaya di negara ini, sebenarnya telah 'dipulangkan' kepada kumpulan rakyat yang lebih memerlukan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan mengakui dasar tidak seimbang yang hanya menguntungkan segelintir kumpulan rakyat itu tidak sewajarnya diteruskan.

Katanya, hasil pengurangan subsidi bahan bakar berkenaan dipulangkan kepada rakyat dalam pelbagai cara termasuk melaksanakan rancangan pembangunan negara dan peruntukan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

"Bayangkan peruntukan kerajaan terhadap subsidi tersasar berjumlah RM2 bilion sebulan itu sebenarnya sudah boleh membina kira-kira 2,000 dewan orang ramai atau empat buah universiti yang kosnya sekitar RM500,000 sebuah.

"Maka kerajaan ambil semula 'keuntungan' yang diperoleh 70 peratus daripada orang kaya itu bagi dikembalikan kepada golongan yang memerlukan dan digunakan untuk pembangunan negara kerana ia lebih realistik untuk dilaksanakan," katanya ketika berucap dalam Seminar Pemerkasaan Ekonomi Nasional (Pena) Peringkat Negeri Sabah, di sini hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Yahya Hussin yang mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.

Yang turut hadir, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Mohd. Ariffin Arif; Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Sapawi Ahmad dan Pembantu Menteri Kewangan negeri, Datuk Ramlee Marhaban.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, kerajaan sedaya upaya untuk mengurangkan defisit negara menerusi perbelanjaan berhemah yang sedang dilaksanakan ketika ini dan merancang pelbagai aktiviti ekonomi bagi menjana pendapatan negara termasuk meningkatkan nilai eksport.

Katanya, semua perancangan itu bagi memastikan usaha kerajaan menjadikan Malaysia sebagai negara maju dan rakyat berpendapatan tinggi berjalan lancar seperti dijadualkan.

Jelasnya, ekonomi negara tidak mengalami kegawatan seperti mana yang cuba disebarkan oleh pihak bertanggungjawab, malah disasarkan mencatat pertumbuhan sebanyak lima hingga 5.5 peratus pada tahun ini.

"Inflasi di negara ini sekitar dua hingga tiga peratus manakala kadar pengangguran sebanyak tiga peratus," katanya - UTUSAN. 

No comments:

Post a Comment