Kuasa kerajaan lindungi pengguna - Muhyiddin
PUTRAJAYA, ISNIN, 27 Januari, 2014: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan mempunyai kuasa untuk campur tangan bagi memperluaskan lagi jumlah barangan kawalan sekiranya terdapat asas-asas kukuh yang membolehkan langkah itu dilaksanakan demi melindungi kepentingan pengguna.
Timbalan Perdana Menteri berkata, Malaysia merupakan satu-satunya negara yang mempunyai kuasa seperti itu dan tujuannya adalah semata-mata melindungi hak pengguna mengikut peruntukan undang-undang.
Walau bagaimana pun beliau berkata, langkah tersebut tidak dilakukan sewenang-wenangnya sebaliknya kerajaan akan mengadakan perbincangan dengan semua pihak berkepentingan sebelum sebarang keputusan diambil.
''Kuasa itu ada pada menteri (Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek) dan sekiranya kerajaan berpendapat ada asas yang kukuh terdapat satu-satu produk yang perlu dikawal harganya seperti topeng muka semasa berlakunya penyakit influenza A (H1N1), kita akan lakukan.
''Keputusan itu diambil kerana terdapat pihak tertentu menaikkan dengan sewenang-wenangnya harga topeng muka yang dijualkan kepada orang ramai maka diletakkannya sebagai barangan kawalan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan 17 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pengguna bagi membincangkan isu kenaikan kos sara hidup di pejabatnya di sini hari ini.
Yang turut hadir Hasan dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Berdasarkan laman web Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan sebanyak 22 barangan telah diisytiharkan sebagai barang-barang kawalan di bawah Seksyen 5 Akta Kawalan Bekalan 1961 antaranya gula, susu, garam, tepung gandum, beras dari semua jenis, semua jenis roti, petrol dan gas petroleum cecair (LPG).
Muhyiddin berkata, setiap usaha untuk meningkatkan jumlah barangan kawalan, kerajaan tetap mengambil pendekatan hati-hati.
''Kita sedar dalam pasaran terbuka di Malaysia (sebahagian besar barangan) harganya tidak dikawal sebaliknya ditetapkan oleh penawaran dan permintaan.
''Sebab itu kita dikehendaki berhati-hati dalam menambah senarai barangan tadi namun jika ada keperluan mungkin boleh di tambah satu, dua atau tiga barangan lagi dan kita menganggap barang ini penting," ujarnya.
Dalam pada itu beliau berkata, kerajaan akan memperkenalkan beberapa inisiatif untuk mengurangkan kos hidup rakyat dengan cara menambahkan lagi pendapatan mereka.
''Seperti mana kata Datuk Ismail Sabri kita akan mengambil langkah menambahkan pendapatan pengguna seperti program 'jom menanam' seperti mana program bumi hijau yang pernah diperkenalkan dahulu," ujarnya.
Mengenai perbincangan hari ini Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan dan NGO pengguna bersetuju memperhebatkan gerakan kepenggunaan di kalangan rakyat sekali gus mampu memberi kesedaran kepada mereka tentang hak-hak sebagai pengguna yang bijak.
Sementara itu menjawab satu soalan Muhyiddin berkata, usaha kerajaan menangani kos sara hidup dilakukan secara holistik dan bukannya secara terasing.
''Mengenai keputusan makmal khas di bawah Jawatankuasa Khas Kabinet Menangani Kos Sara Hidup pula kita akan ketahui esok," ujar beliau. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment