My Add

Monday 27 January 2014

Mesir berdarah lagi

SEORANG anggota pergerakan 6 April (terlindung) dipukul sekumpulan penyokong Ketua Tentera Mesir, Abdel Fattah al-Sisi di hadapan Dataran Talaat Harb, berhampiran Dataran Tahrir, Kaherah, semalam. - AFP


 KAHERAH, AHAD, 26 Januari, 2014: Ulang tahun ketiga kebangkitan rakyat di Mesir bertukar ganas selepas polis dan penyokong kerajaan sementara Mesir bertempur dengan penyokong bekas Presiden Mohammed Mursi, mengakibatkan sekurang-kurangnya 50 orang terbunuh dalam tempoh 24 jam.

Menurut Kementerian Kesihatan Mesir hari ini, hampir 1,500 orang cedera dengan 250 daripadanya dilaporkan parah dalam tunjuk perasaan yang berlaku di beberapa wilayah di negara ini.

Kementerian Dalam Negeri pula memaklumkan, sebanyak 1,079 penunjuk perasaan ditahan dalam demonstrasi tersebut kerana memiliki raifal, bom petrol, mercun, dan pelbagai jenis senjata lain.
Menurut kementerian itu lagi, beberapa orang anggota polis turut dilaporkan cedera dalam pertempuran.

Kejadian semalam bermula dengan letupan kecil di pekarangan sebuah pusat latihan polis di utara Kaherah yang menyebabkan seorang cedera, sementara 16 yang lain cedera apabila sebutir bom kereta meletup berhampiran sebuah balai polis di bandar Suez.

Di Dataran Tahrir, pasukan keselamatan melepaskan gas pemedih mata dan tembakan amaran ke udara bagi menghalang penyokong Mursi daripada memasuki dataran itu yang menjadi simbolik kepada penggulingan Hosni Mubarak pada 2011.

Mereka bagaimanapun memberi laluan kepada penyokong kerajaan sementara bagi menyatakan sokongan kepada Ketua Tentera Mesir, Jeneral Abdel Fattah al-Sisi di dataran tersebut.

Pertempuran paling sengit antara penyokong Mursi dan pasukan keselamatan berlaku di Alf Maskan, pinggir bandar timur Kaherah yang menyaksikan kedua-dua pihak bertempur untuk tempoh beberapa jam.
Menurut saksi, pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan antikerajaan yang membalas serangan itu dengan bom petrol.

Pihak keselamatan menganggarkan dua terbunuh dalam kejadian itu, namun sumber meletakkan angka korban jauh lebih tinggi iaitu 66 orang.

Di daerah Muhandiseen, barat Kaherah, polis melepaskan gas pemedih mata dan tembakan ke udara bagi menyuraikan penunjuk perasaan yang berkumpul di pekarangan masjid.

Pertempuran turut berlaku di Iskandariah, Minya dan Ismailiya.
Sementara itu, empat tentera Mesir maut dan sembilan lagi cedera dalam satu serang hendap oleh kumpulan militan di Semenanjung Sinai hari ini, lapor sumber keselamatan.

Kejadian itu berlaku apabila sekumpulan penyerang melepaskan tembakan ke arah sebuah bas dinaiki tentera berhampiran pos tentera di Sinai Utara. - AFP/AP/REUTERS/AGENSI/UTUSAN 

No comments:

Post a Comment