My Add

Thursday 30 January 2014

GST: Sabah, Sarawak tidak hilang hasil

KUCHING, RABU, 29 Januari, 2014: Kementerian Kewangan akan mewujudkan mekanisme bersesuaian bagi memastikan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak tidak kehilangan kutipan hasil berikutan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, perbincangan susulan akan dibuat antara Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak berhubung perkara itu memandangkan kedua-dua negeri ini mempunyai autonomi untuk mengutip cukai.

"Berdasarkan Perkara 95b Perlembagaan Persekutuan, Kerajaan Sarawak, sebagai contoh, boleh mengenakan cukai jualan ke atas CPO (minyak sawit mentah) dan cukai jualan untuk produk dan perkhidmatan tertentu," katanya selepas menghadiri Seminar Pemerkasaan Ekonomi Nasional (Pena) Peringkat Negeri Sarawak di sini hari ini.

Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, mewakili Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud merasmikan seminar itu yang dihadiri 1,500 peserta.

Ahmad berkata, hanya Sabah dan Sarawak mempunyai kuasa autonomi untuk mengutip cukai, dan pelaksanaan GST ini kelak perlu mengambil kira kedudukan ini.

"Apa pun keputusan kita, kita tidak akan menyusahkan rakyat Sabah dan Sarawak. Kita tidak akan merugikan kutipan hasil untuk negeri-negeri Sabah dan Sarawak," katanya.

Terdahulu, Abang Johari berkata, pelaksanaan GST di Sarawak perlu diperhalusi dengan mengambil kira peruntukan yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung kuasa kerajaan negeri untuk mengenakan cukai.

"Walaupun kerajaan negeri tidak ada halangan untuk menerima pakai sistem GST, namun kerajaan negeri mahu perbincangan lanjut dibuat untuk memperhalusi mekanisme pelaksanaannya," katanya.

Penerangan berkenaan GST yang akan dilaksanakan mulai 1 April 2015 merupakan antara agenda dalam seminar sehari itu yang turut membincangkan Bajet 2014 dan Agenda Memperkasakan Ekonomi Bumiputera. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment