My Add

Wednesday, 29 January 2014

Krisis kemanusiaan di Yarmouk

 *BAYI bernama Israa al-Masri yang juga kekurangan zat makanan. Israa meninggal dunia beberapa hari kemudian. - AGENSI
DAMSYIK, ISNIN, 27 Januari, 2014: Satu lagi kekejaman Presiden Syria, Bashar al-Assad terbongkar, apabila sebanyak 71 pelarian Palestin yang ditempatkan di Kem Yarmouk, di sini dilaporkan meninggal dunia akibat kebuluran dan kekurangan bekalan ubat selepas kem berkenaan dikepung selama 197 hari oleh tentera negara ini.

Perkara itu disahkan dengan penyebaran sebuah video di Internet, memaparkan seorang pelarian warga emas lelaki yang kurus kering, menceritakan pengalamannya yang sukar mendapatkan makanan.

"Saya sendiri tidak ingat, bilakah kali terakhir saya makan," katanya dalam video berdurasi 27 saat itu.

Penyebaran video itu di media-media sosial, menguatkan lagi dakwaan bencana kemanusiaan di kem pelarian Palestin tersebut yang telah berlarutan selama berbulan-bulan.

Krisis kemanusiaan itu turut memberi kesan terhadap wanita dan kanak-kanak, malah ada antaranya meninggal dunia kerana kebuluran.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kira-kira 45,000 orang di Yarmouk, kebanyakan rakyat Palestin, dikepung oleh tentera kerajaan dan tidak mempunyai akses kepada bekalan makanan dan perubatan.

Aktivis Syria turut menggesa penentang kerajaan yang menghadiri rundingan damai di Switzerland untuk menyiarkan video tersebut bersama gambar-gambar lain sebagai bukti berlakunya krisis kemanusiaan di kem berkenaan.

Kira-kira 500,000 rakyat Palestin berlindung di Syria sejak Israel mula menjajah negara itu pada 1948.

Sebelum kebangkitan menentang Assad pada tahun 2011, kebanyakan daripada pelarian Palestin menetap di Yarmouk, selatan Damsyik, namun sebahagian besar mereka kini hilang tempat tinggal selepas perang saudara Syria meletus.

Sementara itu, kerajaan Syria bersetuju untuk membenarkan golongan wanita dan kanak-kanak berpindah keluar dari kawasan yang dikuasai penentang di bandar Homs pada hari kedua perbincangan antara wakil kerajaan dan penentang kerajaan di sini, semalam.

Dalam perjanjian yang dibuat antara kedua-dua pihak bertelagah itu, utusan khas PBB dan Liga Arab, Lakhdar Brahimi berkata, kerajaan Assad membenarkan pemindahan tersebut bermula serta-merta.

Namun begitu, aktivis penentang di Homs menyatakan keraguan dan menuntut bekalan bantuan disalurkan terlebih dahulu selain jaminan supaya wanita dan kanak-kanak terlibat tidak ditahan. - AGENSI/AFP/UTUSAN 

No comments:

Post a Comment