My Add

Monday 27 January 2014

UMNO perlu jadi parti pilihan bandar, luar bandar

JOHOR BAHRU, AHAD, 26 Januari, 2014: Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, UMNO perlu bijak meneliti perubahan demografi dan menyesuaikan dasar-dasar yang ditunjangi bagi memastikan parti itu diterima oleh warga bandar dan pada masa sama, terus kekal mendapat sokongan masyarakat luar bandar.

Perdana Menteri berkata, sokongan masyarakat luar bandar tetap merupakan teras kekuatan parti itu, namun dalam masa sama, dengan penghijrahan dan perubahan demografi rakyat yang berpindah ke kawasan bandar, parti terbesar Melayu itu perlu meneliti dan memahami perubahan untuk terus meraih sokongan rakyat.

"UMNO mesti lakukan penyesuaian terhadap dasar-dasar yang ditunjanginya dengan pendekatan serta tindakan dilakukan di peringkat bahagian dan cawangan supaya dapat mengenali hati dan nurani serta meraih sokongan masyarakat luar bandar terhadap kita dan dalam masa sama, tidak ditolak oleh masyarakat bandar," katanya ketika berucap merasmikan Bangunan UMNO Bahagian Johor Bahru di Taman Putera di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad yang juga Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru.

Pada majlis itu, Najib turut menyerahkan panel solar bagi kegunaan lima buah masjid di kawasan Parlimen Johor Bahru selain menerima sebanyak 909 borang keahlian baharu daripada Shahrir.

Najib yang juga Presiden UMNO turut mengingatkan semua pemimpin parti itu supaya sentiasa mendahulukan rakyat dan itulah prinsip keramat yang mesti dihayati sepanjang masa bagi memastikan UMNO terus mendapat sokongan masyarakat terutamanya di kawasan bandar.

Menurutnya, salah satu contoh UMNO berjaya mendapat sokongan rakyat di kawasan bandar adalah UMNO Bahagian Johor Bahru yang dipimpin oleh Shahrir.

"Pada pilihan raya umum (PRU) lepas, walaupun mereka (pembangkang) meletakkan seorang jeneral empat bintang, saya tetap meletakkan Johor Bahru sebagai kawasan putih dan terbukti Shahrir menang sekali lagi di kawasan ini.

"Kita dapat melihat sendiri pendekatan, tindakan dan saranan Shahrir yang mendahulu dan mengutamakan kepentingan rakyat menjadi kejayaan kepada UMNO Bahagian Johor Bahru sehingga diterima baik oleh masyarakat di kawasan bandar selama ini.

"Oleh itu, strategi dan pendekatan kita untuk menjadikan parti ini 'laku' di kawasan bandar boleh diterima dan disambut sebagai parti orang bandar di samping mengekalkan sokongan luar bandar," katanya.

Perdana Menteri berkata, UMNO tidak boleh bersandar semata-mata kepada sejarah dan kejayaan serta budi kerana perkara itu bukan jaminan untuk terus berkuasa sekiranya tidak menyesuaikan diri untuk kekal relevan.

"Kita tidak boleh bersandar semata-mata kepada sejarah, kita mesti menunjukkan bahawa sebagai sebuah parti yang telah lahir hampir 68 tahun lalu, kita tetap relevan, tetap sesuai, tetap jadi parti pilihan rakyat pada mana-mana tempat dan keadaan,'' katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment