My Add

Monday 27 January 2014


Pengkorporatan kastam dikaji
Oleh MOHAMAD FIKRI ROSLY dan MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI
pengarang@utusan.com.my



Najib Tun Razak menekan butang khas sebagai gimik pelancaran sambil diperhatikan oleh Mohamed Khaled Nordin (dua dari kanan), Ahmad Maslan (kanan) dan Khazali Ahmad pada majlis Sambutan Hari Kastam Sedunia Ke-32 2014 di UTM, Skudai Johor Bahru, semalam. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU,  AHAD, 26 Januari, 2014: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan mengkaji dengan terperinci mengenai kesesuaian pengkorporatan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi menambah baik fungsi jabatan tersebut.

Perdana Menteri berkata, kajian itu dijangka mengambil masa antara tiga hingga empat bulan dan akan meliputi pelbagai perkara, termasuk isu kelayakan dan perjawatan dalam JKDM.

"Langkah pengkorporatan ini akan turut mengambil kira kakitangan kastam yang mempunyai kelulusan ijazah sarjana dan kedoktoran untuk mendapat pengiktirafan yang sewajarnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Sambutan Hari Kastam Sedunia Ke-32 di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan; Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Khazali Ahmad dan Timbalan Mufti Negeri Johor, Yahya Ahmad.

Najib dalam ucapannya turut memuji kecekapan pegawai kastam yang berjaya memungut cukai tidak langsung negara berjumlah RM33.12 bilion sepanjang tahun lalu, iaitu nilai kutipan tertinggi dalam sejarah negara ini.

"Tindakan pantas pihak kastam juga telah berjaya menggagalkan usaha penyeludupan dadah apabila berjaya merampas sejumlah 1,586.17 kilogram dadah bernilai kira-kira RM118 juta.

"Secara keseluruhan nilai rampasan yang berjaya dilakukan pihak kastam tahun lalu bernilai RM646.52 juta yang melibatkan cukai RM407.4 juta," ujarnya.

Najib turut mengingatkan pegawai kastam untuk mempersiapkan diri sebelum kerajaan mula melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bermula April tahun hadapan.

"Kastam akan memainkan peranan utama dalam usaha pelaksanaan GST dan pegawai-pegawai terbabit harus mempersiapkan diri mereka untuk membantu kerajaan," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment