My Add

Monday 27 January 2014

Usaha cetus ketegangan penganut Islam, Kristian

PULAU PINANG, AHAD, 26 Januari, 2014: Pihak-pihak tertentu di negeri ini cuba mencetuskan ketegangan antara penganut Islam dan Kristian apabila melakukan provokasi melampau dengan memasang kain rentang tertera kalimah Allah di beberapa tempat di sini.

Kain rentang yang tertera ungkapan Allah is great (Allah itu hebat) dan Jesus is the son of Allah (Jesus adalah anak lelaki Allah) itu dipasang di Pulau Tikus, Sungai Pinang dan Green Lane di sini.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jelutong, Jasmin Noordin berkata, beliau diberitahu berhubung kain rentang berkenaan oleh ahli-ahli Pemuda UMNO bahagian kira-kira pukul 6 pagi.

Tegasnya, pada mulanya mereka hanya mengesan kain rentang itu dipasang berhampiran Kampung Rawa, Sungai Pinang, namun kemudian mendapat tahu wujud dua lagi kain rentang serupa yang dipasang di tepi jalan berhampiran Green Lane dan Pulau Tikus.

"Perkara ini amat bahaya dan boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan yang selama ini dikecapi rakyat Malaysia. Kita mahu pihak berkuasa menyiasat kerana ia merupakan satu provokasi yang amat bahaya.

"Kita percaya dalang yang melakukan perkara ini adalah mereka yang tidak senang dengan keharmonian kaum yang selama ini ditonjolkan rakyat Malaysia dan Pemuda UMNO membantah sekeras-kerasnya provokasi sebegini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau dalam pada itu menambah, kain-kain rentang tersebut diturunkan oleh penduduk setempat dan pihak polis sekitar pukul 8 pagi.

"Kita mahu dalang yang bertanggungjawab dalam kes ini segera ditangkap dan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment