Disaman: Hadi masih belum beri maklum balas
KUALA TERENGGANU, AHAD, 26 Januari, 2014: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang diperintah oleh Mahkamah Tinggi di sini untuk memfailkan draf pembelaan berhubung saman malu sebanyak RM2 juta yang dikemukakan bekas calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Bukit Besi, Mohd. Shamsul Mat Amin.
Perintah yang ditetapkan pada 23 Februari depan itu dikeluarkan Hakim Datuk Mohd. Yazid Mustafa dalam prosiding yang berlangsung kira-kira 15 minit di mahkamah itu di sini hari ini.
Mohd. Shamsul melalui firma guaman Tetuan Vasudevan A & Co., pada 5 Disember lalu telah memfailkan saman ke atas Abdul Hadi di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini selepas beliau mendakwa difitnah oleh pemimpin Pas itu semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), April lalu.
Plaintif ketika ditemui selepas sebutan pertama kes itu di Mahkamah Tinggi di sini berkata, pihaknya kecewa kerana tidak menerima sebarang maklum balas daripada defendan sebaik sahaja memfailkan saman berkenaan.
"Sehingga ke hari ini, saya tidak mendapat apa-apa maklum balas berhubung kes ini sama ada beliau (Abdul Hadi) mahu lawan atau sebaliknya. Hari ini pun mereka (Abdul Hadi dan peguam) juga tidak hadir ke mahkamah.
"Saya tidak tahu atas alasan apa beliau dan peguamnya masih membisu sehingga kini.
"Jadi, disebabkan perkara itu, tidak ada apa yang kami boleh buat ketika ini. Kami terpaksa menunggu sehingga 23 Februari ini sebelum tindakan selanjutnya diambil," katanya.
Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif yang juga Ketua Angkatan Muda PKR Dungun mendakwa, ucapan Abdul Hadi dalam satu ceramah di Kampung Tebakang Alor Limbat, Marang pada 22 April lalu telah menjatuhkan maruahnya dan keluarga serta menjejaskan reputasinya sebagai calon dan ahli perniagaan.
Plaintif yang merupakan pemaju perumahan juga mendakwa berdepan dengan tekanan emosi dan mental yang berpanjangan setelah menerima cemuhan dan penghinaan serta dipandang serong oleh masyarakat.
Dalam pada itu, Mohd. Shamsul sekali lagi menegaskan bahawa beliau tidak terlibat dengan kegiatan jenayah membabitkan penjualan pil kuda seperti yang didakwa oleh Abdul Hadi dalam ceramah berkenaan walaupun Presiden Pas itu tidak menyebut secara langsung siapa yang terlibat.
"Memang beliau tidak sebut nama tapi di antara ketiga-tiga calon PKR yang bertindih pencalonan itu (Mohd. Shamsul bersama calon DUN Seberang Takir, Ahmad Nazri Mohd. Yusof serta calon DUN Kota Putera, Mohamed Abdul Ghani Ibrahim), ramai yang memandang serong apatah lagi saya kurang berpengalaman dan paling muda.
"Justeru, saya sebelum apa-apa terjadi, saya terpaksa mengambil tindakan ini (menyaman) bagi membersihkan nama saya dan apa yang saya lakukan ini atas sifat peribadi dan tiada kaitan dengan parti yang sebelum ini meminta saya agar tidak meneruskan hasrat tersebut," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment