My Add

Monday, 27 January 2014

Meraikan 20 Tahun Francais Malaysia

MENYINGKAP kembali tirai industri francais lebih 20 tahun yang lalu. Industri ini yang mempunyai potensi yang cukup besar ini kurang diberikan perhatian. Malah dianggap sebagai satu sektor yang asing berbanding sektor lain. Pengguna ketika itu lebih mengenali produk francais luar negara seperti BATA, SINGER, KFC, McDonald's dan banyak lagi. Hasilnya aliran tunai di dalam negara mengalir keluar melalui yuran francais serta bayaran royalti setiap tahun kepada francaisor asing.

Melihat kepada senario ini, kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mengorak langkah memberikan fokus kepada pembangunan industri francais di Malaysia. Maka diwujudkan Program Pembangunan Francais (PPF) pada 4 Ogos 1992, di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), Jabatan Perdana Menteri. Antara pelan tindakan di bawah PPF termasuklah menubuhkan Persatuan Francais Malaysia (MFA) pada 18 Januari 1994 dengan tujuan untuk mengawal selia industri ini secara dalaman (self regulatory) dan penggubalan Akta Francais Malaysia 1998.

Seterusnya pada awal tahun 2012, kerajaan mengambil inisiatif pemacu untuk membangunkan industri francais di Malaysia dengan merangka Pelan Induk Pembangunan Francais Nasional (PIPFN) 2012-2016. PIPFN ini merangkumi aspek meningkatkan daya saing francais Malaysia di dalam dan di luar negara, melaksanakan transformasi perniagaan melalui francais, membangunkan kecekapan modal insan serta mengukuhkan ekosistem francais yang lebih dinamik.

Sejajar dengan pelaksanaan PIPFN ini, pihak kerajaan telah mempercepatkan proses pendaftaran francais dengan memendekkan tempoh kepada tujuh hari bekerja dengan syarat semua dokumen dan syarat dipenuhi dengan mewujudkan satu sistem atas talian pendaftaran francais; MyFEX.

MyFEX direka bertujuan untuk memberikan keselesaan dan memudahcarakan proses permohonan baru lesen francais.

Peruntukan juga telah disediakan untuk mempromosikan francais tempatan Malaysia melalui pelbagai program seperti Franchise Malaysia Goes Global, membangun dan mengembangkan francais mikro melalui Francais Komuniti, 1Malaysia Stesen Francais serta menyediakan kemudahan pinjaman khas untuk francais mikro; Skim Pinjaman Kecil Francais. Ini adalah antara inisiatif yang telah diambil untuk menyempurnakan visi dan misi PIPFN ini.

Secara amnya, perniagaan francais secara langsung mampu memberi sumbangan yang positif terhadap pertumbuhan ekonomi negara. Pada ketika ekonomi negara berada pada landasan yang kukuh, permintaan domestik telah memainkan peranan penting di dalam pertumbuhan ekonomi. Sejak 20 tahun yang lalu, kerajaan sentiasa menggalakkan usahawan tempatan khususnya bumiputera untuk menceburkan diri di dalam bidang francais disebabkan faktor risiko yang boleh dianggap rendah tetapi menjanjikan pulangan yang menguntungkan.

Perkembangan positif ini memberi petanda baik bukan sahaja kepada masa depan pertumbuhan ekonomi negara, bahkan ke arah mewujudkan kehidupan yang lebih selesa dengan menggalakkan keusahawanan terutamanya usahawan kecil dan sederhana, mendekatkan jurang perbezaan ekonomi serta mengurangkan pengangguran.

Perniagaan francais adalah sesuai untuk semua lapisan masyarakat, samaada penduduk di kawasan bandar atau luar bandar. Di negara-negara membangun seperti Uganda, Kenya dan Kemboja, francais Mikro telah digunakan sebagai model alternatif yang berkesan untuk menangani isu kemiskinan. Francais Mikro memainkan peranan penting untuk membasmi kemiskinan terutamanya di kawasan luar bandar dengan mewujudkan pakej atau program kepada usahawan-usahawan kecil seperti gerai-gerai buah-buahan, gunting rambut, kedai runcit, dan kedai-kedai makanan seperti cendol dan gerai rojak boleh dimodenkan menjadi model perniagaan francais.

Kini, mengikut sumber Bahagian Pembangunan Francais, KPDNKK sehingga Disember 2013, sejumlah 689 perniagaan francais telah didaftarkan di Malaysia dengan 491 produk tempatan. Sektor makanan masih mendahului iaitu sebanyak 35 peratus diikuti Pusat pembelajaran kanak-kanak (12 peratus) dan pakaian dan aksesori (11 peratus). Sejumlah 55 produk francais Malaysia telah berjaya menembusi pasaran di 52 negara dengan 1,962 outlet merangkumi Indonesia, Singapura, China, Arab Saudi, dan Emiriah Arab Bersatu.

Kesimpulannya, segala inisiatif dan kemudahan yang telah disediakan ini memerlukan semua penggiat industri francais untuk bersama-sama berusaha dengan Kerajaan untuk membina industri yang kukuh dan berdaya saing serta menjadi penanda aras baru dalam dunia francais. Sasaran PIPFN untuk menjadikan Malaysia sebagai hab francais di Asia Tenggara menjelang 2020 boleh dicapai. Di samping itu, penggiat industri francais wajar menitik beratkan amalan perniagaan yang lebih beretika sama ada dengan francaisor, francaisi dan lebih-lebih lagi pelanggan atau pengguna produk mereka agar Francais Malaysia akan lebih dipandang gah di mata dunia.

datuk Mohd. Latip Sarrugi adalah Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA) - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment