* MOHAMAD Khaled Nordin (dua dari kiri), menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian di antara Sahdan Salim (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif YPJ Holdings Sdn. Bhd., Hamsan Saringat (tiga dari kiri) di Johor Bahru, semalam. |
Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Sahdan Salim berkata, perkara itu diharap diselesaikan apabila Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melawat negara berkenaan hujung Februari ini.
Menurutnya, usaha mengeksport nanas ke China sepatutnya boleh dilakukan, namun tidak dapat berbuat demikian ekoran beberapa halangan peraturan negara itu.
"Kita harap perkara ini selesai kerana projek yang dimulakan dalam usaha mengeksport nanas ke China pada hujung 2012 sudah mula menampakkan hasil, malah kita kini mampu mengeksport satu kontena nanas setiap minggu.
"Justeru, kita harap masalah birokrasi di pihak negara berkenaan dapat diselesaikan dan jika semuanya berjalan lancar, 100 kontena nanas dapat dieksport ke negara itu setiap bulan menjelang 2015," katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara LPNM dan YPJ Holdings Sdn. Bhd. dan MoU antara Johor Corporation (JCorp) dan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB), di sini hari ini.
Kedua-dua majlis MoU tersebut disaksikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Yang turut hadir Pengerusi LPNM, Datuk Samsolbari Jamali dan Pengerusi PUNB, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.
Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, Johor kini dalam usaha mengembalikan kegemilangan industri nanas di negara ini menerusi kerjasama dengan pihak tertentu termasuk melatih belia yang berminat untuk menjadi usahawan tani.
"Ini yang sedang kita lakukan seperti MoU hari ini dapat menyediakan peluang kepada mereka yang berminat terutama golongan belia menceburkan diri dalam bidang pertanian yang diyakini dapat memberi pulangan lumayan," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment