My Add

Monday 26 March 2012

74,000 lesen pengendali pengangkutan awam diedar April

KUALA LUMPUR, ISNIN, 26 Mac, 2012: Sebanyak 74,000 lesen pengendali untuk teksi, bas dan lori sedang disiapkan dan boleh diedarkan kepada pengusaha mulai 1 April ini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, pengeluaran lesen yang boleh dituntut di empat wilayah ibu pejabat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) itu dikeluarkan hasil permohonan segera ekoran penguatkuasaan lesen pengendali oleh suruhanjaya itu sejak 31 Januari lepas.

"Ini merupakan satu mekanisme bagi tujuan mengawal selia pengusaha pengangkutan awam dan kenderaan barangan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan.

"Dengan pelaksanaan lesen pengendali ini, tempoh sah laku maksimum lesen adalah tujuh tahun dengan pemohon boleh memilih untuk memperbaharui lesen pengendali mengikut tahun yang dikehendaki mereka iaitu, sama ada tiga, lima atau tujuh tahun,” katanya ketika menjawab soalan Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli (Pas-Kuala Krai).

Mohd. Hatta ingin tahu kenapa pembaharuan permit teksi perlu dilakukan setiap tahun berbanding 10 tahun sebelum ini dan apakah SPAD mempunyai kemampuan melayani urusan pembaharuan permit itu di pejabatnya.

Kini terdapat lebih 90,000 pengendali di negara ini dengan lebih 300,000 kenderaan yang dimiliki. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment