KUALA LUMPUR, KHAMIS, 01 Mac, 2012: Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru negara anggota ASEAN supaya mewujudkan rangka kerja pelbagai platform, yang melibatkan media arus perdana dan media sosial, untuk memudahkan pengaliran maklumat secara bebas demi manfaat penduduk di rantau ini di samping memupuk semangat saling menyokong dan membantu dalam kalangan mereka.
Timbalan Perdana Menteri berkata, perkara itu perlu diberi tumpuan utama agar penduduk Asean yang berjumlah 600 juta orang, tidak berada dalam kegelapan tentang perkembangan penting yang berlaku di rantau ini.
"Saya percaya, berbekalkan maklumat yang tepat, kita akan dapat melaksankan tugas kita dengan lebih bersemangat ke arah mencapai matlamat dan misi yang ditetapkan,” katanya ketika merasmikan Persidangan Menteri-menteri ASEAN Bertanggungjawab Bagi Maklumat (AMRI) Ke-11 di sini hari ini.
Beliau berkata, untuk merealisasikan wawasan Komuniti ASEAN, negara anggota pertubuhan itu perlu meningkatkan kefahaman serta penghayatan anggotanya terhadap sistem politik, budaya dan sejarah ASEAN.
Muhyiddin berharap lebih banyak sektor dari negara anggota ASEAN terlibat dengan pelaksanaan lebih banyak projek dan aktiviti melalui persidangan akademik, bengkel dan seminar. — BERNAMA
No comments:
Post a Comment