My Add

Thursday 1 March 2012

Dagangan Malaysia-Turki diunjur cecah AS$5b selepas FTA

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 01 Mac, 2012: Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Turki berpotensi untuk mencecah US$5 bilion selepas cadangan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dimeterai tahun ini, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed hari ini.

Beliau berkata, pada 2011, pergerakan barangan dan perkhidmatan antara Kuala Lumpur dan Ankara berjumlah US$1.09 bilion dengan eksport Malaysia ke Turki berjumlah US$930 juta (US$1RM3).

"Malaysia amat komited untuk memuktamadkan rundingan ke arah merealisasikan FTA. Saya berharap, dalam masa tiga hingga empat bulan lagi, rundingan boleh dimuktamadkan. Dalam tempoh yang singkat selepas pemeteraian perjanjian berkenaan, perdagangan boleh meningkat,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Produk Turki Ketiga di Kuala Lumpur Convention Centre di sini.

"FTA akan menyaksikan pengurangan tarif yang akan memudahkan pergerakan produk Turki ke Malaysia dan produk Malaysia ke Turki.

"Oleh itu, adalah dipercayai bahawa perjanjian berkenaan boleh menggalakkan perdagangan serta meningkatkan hubungan perdagangan yang kedua-dua negara telah memiliki,” katanya.

Mustapa berkata, apabila perjanjian itu ditandatangani, Malaysia akan menjadi negara Asean pertama yang menandatangani FTA dengan Turki.

Beliau berkata kedua-dua negara akan menerima pakai pendekatan yang sama, iaitu Turki menganggap Malaysia sebagai pintu masuknya ke pasaran Asia dan Asia Tenggara, dan Malaysia menganggap Turki sebagai landasan untuk ke pasaran Asia Barat dan rantau Eropah Tenggara.

Sebaliknya, Mustapa berkata Turki dapat mengambil bahagian dalam sektor pembinaan dan kejuruteraan Malaysia serta dalam pembangunan halal.

Beliau berkata, FTA dan unjuran pertumbuhan perdagangan itu selaras dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak apabila beliau membuat lawatan rasmi ke Turki tahun lepas. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment