My Add

Tuesday, 27 March 2012

Inkuiri Nasional berhubung hak tanah Orang Asli bermula

KUALA LUMPUR, SELASA, 27 Mac, 2012: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) kini dalam proses menjalankan Inkuiri Nasional berhubung Hak Tanah Orang Asal/Asli di Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan, selama empat hari bermula hari ini. 

Pengerusi SUHAKAM, Tan Sri Hasmy Agam, berkata inkuiri itu berikutan pelbagai aduan dan memorandum yang diterima sejak beberapa tahun lalu berhubung dakwaan pelanggaran hak ke atas tanah adat.

"Aduan yang diterima termasuk pencerobohan, pentadbiran, projek pembangunan bandar, skim perladangan, hutan simpanan, rancangan penempatan semula dan pampasan," katanya dalam ucapan sebelum mempengerusikan inkuiri itu di sini.

Sesi hari ini disertai dua lagi panel inkuiri iaitu Pesuruhjaya SUHAKAM, Datuk Dr Kaw Lake Tee, Naib Pengerusi Jennie La Simbang serta dua perunding bebas iaitu Dr Collin Nicholas dan Datuk Denison Jayasooria. 

Hasmy berkata ini adalah inkuiri pertama di Semenanjung Malaysia dan akan diadakan secara berperingkat di Johor, Perak, Kelantan, Pahang serta Sabah sehingga Jun depan. 

Beliau berkata SUHAKAM menjalankan inkuiri sama di Sarawak bulan lalu. 

"Kami berharap dapat mengumpulkan semua maklumat menjelang Julai dan akan mengemukakan laporan tersebut kepada kerajaan untuk tindakan lanjut berhubung isu hak tanah Orang Asal/Asli," katanya.

Hasmy juga berkata kuasa untuk menjalankan inkuiri itu termaktub di bawah Seksyen 14 Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999, yang memberi kuasa kepada SUHAKAM untuk mendapatkan dan menerima keterangan bertulis atau lisan. 

Katanya, dalam Inkuiri Nasional itu, Suhakam telah merangka beberapa program bagi mengumpul seberapa banyak maklumat yang perlu mengenai isu tanah Orang Asal/Asli di Malaysia. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment