My Add

Thursday 1 March 2012

JKM lapor polis terhadap bekas pengasuh Taska

JOHOR BAHRU, KHAMIS, 01 Mac, 2012: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor hari ini membuat laporan polis terhadap dua bekas pengasuh di sebuah Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di Taman Kota Masai di sini yang didakwa menampal pita pelekat pada mulut dan melilit kain bedung pada bayi jagaan mereka serta menyebarkan gambar tersebut di internet Disember tahun lalu. 

Laporan dibuat Pegawai Mohd Faizal Abu Bakar tengah hari tadi di Balai Polis Sentral dengan diiringi Pengarah JKM Johor, Khatijah Abdullah dan Timbalannya Bazlan Ismail.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Khatijah berkata laporan terhadap wanita berumur 20 dan 22 tahun itu dibuat bagi tindakan lanjut polis, kerana perbuatan seumpama itu boleh menyebabkan gangguan emosi terhadap kanak-kanak.

"JKM membuat laporan mengikut Seksyen 29 (2) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana pengasuh terbabit mencederakan kanak-kanak dari segi fizikal dan emosi dan tidak memaklumkannya kepada JKM. Mana-mana pihak yang tidak mematuhi Seksyen berkenaan boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya," katanya. 

Akhbar dua hari lalu mendedahkan klip video yang menunjukkan lebih lima bayi yang sedang tidur di sebuah bilik di sebuah Taska ditampal dengan pelekat pada mulut mereka selain dililit dengan menggunakan kain bedung oleh dua bekas pengasuh Taska terbabit. 

Berikutan itu, polis memanggil dua bekas pengasuh yang sudah diberhentikan daripada Taska berkenaan sejak Januari lalu untuk direkodkan keterangan mereka. 

Dalam perkembangan lain, Khatijah berkata pihaknya berjaya menyelamatkan 23 kanak-kanak jalanan di sekitar bandar raya ini dalam tempoh dua tahun lalu. 
Beliau berkata, seramai 11 kanak-kanak diselamatkan tahun lepas manakala 12 lagi pada tahun sebelumnya. 

"Semua kanak-kanak lelaki dan perempuan ini berumur lima hingga 16 tahun. Kebanyakan mereka berpeleseran di tepi jalan, kompleks beli-belah dan bergaul dengan penagih dadah disebabkan kematian penjaga, lari dari rumah dan diabaikan penjaga. 

"Terdapat juga satu kes di mana kanak-kanak perempuan berumur 13 tahun yang menjadi kanak-kanak jalanan selepas cuba dijual sebagai pelacur oleh ibunya yang menghidap HIV," katanya. 

Khatijah berkata, masalah kanak-kanak jalanan di negeri ini perlu diberi perhatian oleh semua pihak bagi mengelakkan timbulnya pelbagai masalah sosial dengan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenainya diminta menghubungi JKM Johor. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment