My Add

Saturday 3 March 2012

Kolej Komuniti jadi tonggak lahir tenaga kerja mahir: TPM

SEGAMAT, SABTU, 03 Mac, 201: Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata kolej komuniti di negara ini wajar menjadi tonggak menyediakan tenaga kerja berkemahiran bagi kelompok masyarakat yang berpotensi melonjakkan ekonomi negara. 

Timbalan Perdana Menteri berkata, kolej komuniti yang mempunyai hubungan rapat dengan masyarakat setempat perlu memainkan peranan dalam menyediakan tenaga kerja selaras dengan dasar komprehensif pembelajaran sepanjang hayat yang diperkenalkan kerajaan.

"Pelan Induk Pembelajaran Sepanjang Hayat Peringkat Nasional 2011-2020 telah dilancarkan pada 14 Nov tahun lepas dengan objektifnya untuk menjadikan pembelajaran sepanjang hayat sebagai satu gaya hidup masyarakat Malaysia bagi melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran.

"Dalam konteks ini, kolej komuniti telah dipertanggungjawabkan sebagai hab pembelajaran sepanjang hayat dan melaksanakan program berorientasikan kemahiran dan mempunyai fokus seperti latihan magang untuk golongan masyarakat yang kurang mempunyai latar belakang akademik yang tinggi," katanya semasa berucap merasmikan Kolej Komuniti Segamat 2 di sini, hari ini. 

Timbalan Perdana Menteri turut menyaksikan perjanjian persefahaman antara Kementerian Pengajian Tinggi dan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat). 

Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment