My Add

Sunday 25 March 2012

Peruntuk RM7.5 juta cegah banjir di Hulu Langat, Ampang

HULU LANGAT, AHAD, 25 Mac, 2012: Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM7.5 juta untuk melaksanakan langkah mencegah banjir di kawasan Hulu Langat bagi tempoh jangka pendek. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata peruntukan itu membabitkan pembinaan sebuah jambatan laluan utama dengan kos RM3.5 juta, dua unit pembentung (RM1 juta) dan pengalihan utiliti (RM3 juta).

"Saya sudah diberi taklimat oleh Jabatan Pengairan Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) diminta melaksanakan langkah untuk mencegah banjir bagi tempoh jangka pendek.

"Kita akan melaksanakan langkah jangka pendek pada tahun ini juga. Kalau boleh, kerja-kerja akan mula dilaksanakan sebelum pilihan raya diadakan," katanya pada majlis penyampaian bantuan kepada mangsa banjir di sini, hari ini. 

Najib, sebelum itu diberi taklimat oleh Pengarah JPS Selangor Ab Qahar Osman berhubung cadangan pembinaan kolam tadahan Sungai Serai, Hulu Langat, membabitkan kos RM15 juta, dengan keluasan enam hektar dan akan dibina dalam tempoh dua tahun. 

Najib berkata, bagi tempoh jangka panjang, pelbagai projek akan dilaksanakan termasuk pembinaan sebuah kolam takungan air. 

Bagaimanapun, katanya, pembinaan kolam takungan tersebut akan membabitkan soal pengambilan tanah. 

"Ini kena tunggu, kita perlu ambil alih kerajaan negeri dulu. Lepas itu, kita buat projek takungan air. Selepas melaksanakan projek jangka pendek dan jangka panjang, Insya-Allah, tidak akan berlaku banjir lagi," katanya. 

Ab Qahar dalam taklimatnya berkata, langkah jangka pendek yang akan dilaksanakan ialah menaik taraf pembetong dan jambatan di jalan utama, melaksanakan kerja penyelenggaraan Sungai Langat dan anak sungai secara berkala, menstabil dan mengukuhkan semula tebing serta menaik taraf saliran dalaman kawasan kampung dan taman. 

Selepas taklimat, Najib kemudian melawat rumah mangsa banjir. 

Pada 7 Mac lalu, banjir yang melanda daerah Hulu Langat, adalah yang terbesar membabitkan lebih 3,000 keluarga yang terpaksa dipindahkan selain memusnahkan harta benda dan kemudahan awam bernilai jutaan ringgit. 

Kawasan yang terbabit ialah Dusun Tua, Taman Sri Nanding, Kampung Sungai Serai dan Lembah Jaya Utara dan beberapa kawasan lain. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment