My Add

Friday 2 March 2012

Polis kenalpasti 29 saksi bantu siasatan wartawan dikasari

GEORGETOWN, JUMAAT, 02 Mac, 2012: Polis sudah mengenalpasti 29 lagi saksi bagi membantu siasatan kes kekecohan Perhimpunan Hijau 2.0 sehingga mengakibatkan dua wartawan cedera di Padang Kota Lama di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng, berkata kesemua imej saksi diperoleh daripada 20 rakaman video perhimpunan itu dan berdasarkan bukti bergambar yang tersiar dalam media cetak dan elektronik.

"Kami kini dalam proses menganalisis rakaman percakapan mereka yang terbabit dalam video berkenaan dan mengesan individu yang disyaki menimbulkan kekecohan pada hari itu.

"Polis juga akan memanggil beberapa individu lagi untuk diambil keterangan mereka," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis yakin dapat menyiapkan siasatan sebelum mengemukakan laporan kes itu kepada pendakwa raya Isnin depan.

Gan berkata, sehingga kini polis menerima enam laporan mengenai kes itu dan sudah mengambil keterangan daripada 13 individu termasuk Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng; Ketua Wira PERKASA Pulau Pinang, Mohd Rizuad Mohd Azudin dan dua wartawan berkenaan

Beliau juga meminta orang ramai supaya bersabar dan berhenti daripada membuat spekulasi liar berunsur provokasi kerana perbuatan itu hanya memburukkan lagi keadaan dan menganggu siasatan polis. 

"Biarkan kami menjalankan tugas dan menyelesaikan siasatan dulu sebelum sebarang keputusan diambil terhadap mana-mana pihak," katanya.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, wartawan dan jurugambar akhbar berbahasa Cina, Kwong Wah Jit Poh, Adam Chew, 29, dan Lee Hong Chun, 25, cedera di badan dan kepala selepas dipercayai dikasari ketika bergelut dalam kekecohan itu.

Perhimpunan yang disertai hampir 1,000 orang itu diadakan sebagai membantah pembinaan loji pemprosesan nadir bumi di Gebeng, Pahang. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment