KLANG, SELASA, 27 Mac, 2012: Seorang pekerja restoran wanita dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini daripada tuduhan memperdagangkan seorang bayi lelaki berumur 10 hari bagi tujuan eksploitasi, empat tahun lalu, tanpa dipanggil membela diri.
Hakim Siti Noraida Sulaiman membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen eksploitasi dan memperdagang seperti dalam pertuduhan.
Lee Chew Ean, 59, dari Pulau Pinang didakwa memperdagangkan bayi lelaki, Lee Jin Teng, bagi maksud eksploitasi di No. 35, Lorong Satu Site B, Sekinchan dekat sini, kira-kira 12 tengah hari antara 19 Dis 2008 dan 31 Dis 2008.
Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 14, Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 yang memperuntuk hukuman penjara minimum tiga tahun dan maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Dalam penghakimannya, Siti Noraida berkata keterangan dua saksi utama dalam kes ini iaitu pasangan suami isteri yang mengambil bayi itu sebagai anak angkat mengakui bahawa bayi berkenaan diambil bukan untuk tujuan eksploitasi tetapi untuk dijadikan anak angkat.
Beliau berkata, pasangan suami isteri itu berkata mereka menyayangi bayi berkenaan dan menjaganya dengan baik serta mengakui membayar RM25,000 kepada seorang "makcik tua" tetapi bukan Lee.
Wang berkenaan adalah untuk membiayai kos bersalin ibu yang melahirkan bayi itu, katanya.
Siti Noraida berkata, seorang saksi polis dalam keterangannya berkata bayi berkenaan tidak mengalami sebarang kecacatan, tidak didera, tiada kecederaan dan berada dalam keadaan baik.
Seramai 10 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.
Lee diwakili peguam Mohd Rafik Rahem. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment