My Add

Monday 12 November 2012

12 ikon wanita akan diiktiraf pada Himpunan Wanita Muda Negara

KUALA LUMPUR, isnin, 12 November, 2012: Seramai 12 ikon wanita muda dalam pelbagai bidang bakal diiktiraf pada Himpunan Wanita Muda Negara 2012 yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), 25 November ini.

Turut diiktiraf pada perhimpunan itu ialah Tunku Puteri Intan Shafinaz Sultan Abdul Halim Muadzam Shah yang akan menerima Anugerah Nusa Mahsuri bagi sumbangannya dalam bidang kemanusiaan dan kemasyarakatan.

Perhimpunan anjuran Pergerakan Puteri UMNO Malaysia dengan kerjasama sayap puteri parti komponen Barisan Nasional (BN) itu, dijangka menarik lebih 10,000 wanita muda dari seluruh negara.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Rashid Shirlin berkata, acara julung-julung kali yang mengumpulkan wanita muda di seluruh negara itu akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, isteri Perdana Menteri yang juga penaung perhimpunan itu, Datin Seri Rosmah Mansor dijadual menyampaikan ucap tama pada perhimpunan berkenaan.

"Himpunan ini akan menjadi platform bagi wanita muda mengekspresiken diri mereka di sini dan saya harap mereka akan hadir beramai-ramai untuk memberi sokongan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat sekretariat perhimpunan itu di ibu negara hari ini.

Himpunan wanita muda itu akan dipecahkan kepada tiga segmen utama iaitu himpunan di pentas utama di Dewan Tun Razak 1, PWTC, pameran dan demonstrasi membabitkan 80 agensi dan syarikat serta bengkel dan seminar berkaitan wanita muda. 

Acara menarik lain ialah pertandingan fesyen dan fotografi, cabaran pidato, pertandingan model, cabaran penyelidikan gender serta pengedaran borang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M 2.0) kepada wanita muda yang layak selain konsert khas.

Turut diadakan himpunan sejuta nota kecil yang tertulis impian wanita muda yang akan dipamerkan pada ruangan Sejuta Impian dengan satu daripada impian itu akan ditunaikan penganjur.

Sementara itu, Rosnah juga berkata, pergerakan berkenaan akan menumpukan kepada usaha memperkasa pergerakan itu bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Katanya, itu antara intipati yang akan dibahaskan pada perhimpunan sayap itu sempena Perhimpunan Agung UMNO 2012 dijadualkan akhir bulan ini. - BH

No comments:

Post a Comment