My Add

Friday 2 November 2012

Azhar digantung sekali lagi hadir sidang Dewan

GEORGETOWN, JUMAAT, 02 November, 2012: Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Azhar Ibrahim digantung kali kedua daripada menghadiri persidangan DUN selama enam bulan, berkuat kuasa semalam.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang membentangkan usul penggantungan Azhar pada persidangan DUN semalam, berkata semua bayaran elaun dan gaji ketua pembangkang itu sebagai wakil rakyat dikekalkan.

Guan Eng berkata, keputusan penggantungan itu dibuat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan setelah Azhar gagal memberi penerangan dan penjelasan mengenai kenyataannya pada 8 Mei lalu yang menghina kemuliaan dewan, Speaker DUN Datuk Abdul Halim Hussain dan kakitangan DUN apabila menyebut bahawa catatan persidangan (verbatim) boleh dimanipulasi.

“Dewan bermesyuarat sebanyak lima kali, mesyuarat kali pertama pada 7 Jun memang mengecualikan Yang Berhormat (YB) Penaga kerana isu yang dibentangkan membabitkan beliau.

Kenyataan menghina

“Namun, pada mesyuarat kali kedua dan ketiga yang berhormat dipanggil untuk memberikan penerangan dan penjelasan, tetapi tidak hadir. Oleh itu, pada mesyuarat keempat dan kelima Jawatankuasa Hak dan Kebebasan memutuskan untuk menggantung YB Penaga daripada menghadiri persidangan dewan selama enam bulan bermula 1 November,” katanya.

Pada 8 Mei lalu, Azhar dikatakan membuat kenyataan menghina kemuliaan dewan, speaker dan kakitangan DUN, kenyataan yang disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab itu dianggap sebagai satu titik hitam kerana telah mempertikaikan integriti DUN.

Ketua pembangkang itu kemudian dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan 34 (4) dan 34(9) di bawah peraturan majlis dan mesyuarat negeri kerana menghina DUN, speaker dan kakitangan DUN.

Azhar sebelum itu pernah digantung menghadiri persidangan DUN selama enam bulan pada 17 Ogos 2010 kerana menggunakan perkataan ‘13 Mei’ ketika berlaku pertikaman lidah dengan Guan Eng (DAP-Air Putih) pada sesi penggulungan Usul Terima Kasih Ucapan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas.

Terus perjuang nasib rakyat

Sementara itu, ADUN Teluk Bahang, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, berkata berikutan penggantungan Azhar, beliau akan mengambil alih jawatan ketua pembangkang untuk sementara.

Katanya, beliau dan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang lain akan terus memperjuangkan nasib rakyat negeri ini pada sidang DUN yang berlangsung mulai semalam sehingga Jumaat depan.

Namun, apa yang saya amat kesalkan ialah keputusan untuk menggantung Ketua Pembangkang (Azhar) adalah sesuatu yang tidak sepatutnya kerana keputusan yang dibuat adalah tidak adil,” katanya. - BH

No comments:

Post a Comment