My Add

Wednesday 28 November 2012

'Boleh sampai porak-peranda'



*MUHYIDDIN Yassin membaca doa ketika mengakhiri ucapan perasmian serentak Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno 2012 di PWTC, malam tadi.

KUALA LUMPUR, SELASA, 27 November, 2012: Pakatan pembangkang tidak boleh dibiarkan sama sekali memerintah Malaysia kerana mereka boleh menyebabkan negara ini porak-peranda berikutan sikap tidak mempercayai antara satu sama lain.

Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, konsep berkongsi kuasa tidak pernah wujud dalam pakatan pembangkang yang dianggotai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas.

“Mandat rakyat yang diberikan kepada mereka dalam pilihan raya yang lalu untuk memerintah beberapa buah negeri adalah satu hikmah yang mendedahkan kepada kita bahawa mereka sebenarnya tidak boleh bekerjasama dan berkongsi kuasa.

“Satu sebab yang paling utama ialah tiadanya sikap saling mempercayai antara mereka. PKR tidak percaya kepada DAP, DAP tidak percaya kepada PKR, dan kedua-dua DAP dan PKR tidak percaya kepada Pas," tegasnya.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan demikian ketika merasmikan serentak Persidangan Tahunan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, malam ini.

Muhyiddin berkata, apa yang berlaku di tiga buah negeri yang diperintah oleh pakatan pembangkang berkaitan pelantikan Exco dan pelaksanaan dasar jelas menunjukkan tiada kesepakatan antara mereka.

Selain itu, kata beliau ia juga membuktikan bagaimana Pas hanya melukut di tepi gantang apabila parti itu tidak berkongsi kuasa dengan DAP dan PKR.

“Pas berhempas pulas menarik sokongan orang Melayu, tetapi akhirnya yang berkuasa ialah DAP dan PKR. Bagi DAP dan PKR, Pas hanyalah kuda tunggangan, tukang sorak dan tukang takbir untuk mereka merebut kuasa," tegasnya.

Berdasarkan senario berkenaan, Muhyiddin menegaskan, tidak mungkin Pas boleh menegakkan negara Islam.

“Sebab itulah awal-awal lagi sekarang ini, Pas sudah mendendangkan lagu negara berkebajikan, bukan negara Islam," katanya sambil menyenaraikan fakta bagaimana sepanjang 12 kali pilihan raya umum, bilangan kerusi yang ditandingi Pas kebanyakannya kurang separuh daripada jumlah keseluruhan kerusi di Parlimen.

Tegas Muhyiddin, keadaan Pas itu berbeza dengan UMNO yang sepanjang sejarah pilihan raya bertanding dan memenangi kerusi yang membolehkan parti itu menjadi parti teras dalam kerajaan.

“Mungkin Pas akan mengatakan kepada kita tidak mengapa bertanding sejumlah kerusi yang kecil, kerana nanti ahli-ahli parlimen PKR dan DAP akan menyokong mereka untuk menegakkan Islam. “Janganlah bermimpi di siang hari. Janganlah berbohong kepada pengundi. Jauh panggang dari api. Takkanlah DAP yang rasis lagi cauvinis, takkanlah PKR yang rosak lagi merosakkan, akan menyokong usaha Pas untuk menegakkan Islam.

“Cukuplah. Cukuplah sepanjang 12 kali pilihan raya, 12 kali Pas berbohong kononnya parti itu berjuang untuk menegakkan Islam. Janganlah kita biarkan Pas berbohong lagi untuk kali ke-13," tegas Muhyiddin.

Beliau juga menyelar sikap pembangkang yang kononnya menjanjikan pelbagai kebebasan kepada rakyat termasuk kebebasan media.

“Namun, belum pun sempat mereka berkuasa, pembangkang telah awal-awal lagi memungkiri janji mereka. Hari ini, apabila ada akhbar yang mendedahkan kepincangan mereka, mereka bergegas ke mahkamah menyaman akhbar berkenaan. Jumlah saman bukannya sedikit. “Misalnya, nilai saman mereka ke atas sebuah akhbar arus perdana sejak tahun 2008 mencecah RM1 bilion. Dengan jumlah sebesar ini, pembangkang di negara kita mencipta rekod dunia mengemukakan jumlah saman yang paling besar kepada sebuah akhbar," katanya.

Kesemua perkara itu, kata Muhyiddin, tidak membayangkan pembangkang komited untuk melaksanakan janji demokrasi.

“Sudahlah komitmen kepada Islam semakin luntur, komitmen kepada demokrasi pun tidak ada. Bagi kita, parti-parti pembangkang tidak ada keabsahan moral untuk bercakap mengenai Islam atau demokrasi,’’ katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment