My Add

Wednesday 28 November 2012

PRU-13 tahun depan

 *NAJIB Tun Razak bersama anggota kepimpinan dan ahli Majlis Tertinggi serta para perwakilan menyanyikan lagu parti ketika pembukaan Majlis Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2012 di PWTC, Kuala Lumpur, semalam.- BERNAM

KUALA LUMPUR, SELASA, 27 November, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi isyarat jelas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) tidak akan diadakan pada tahun ini.

Menurut tiga perwakilan UMNO yang ditemui selepas menghadiri Majlis Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2012 di sini hari ini, Najib memaklumkan PRU-13 hanya akan diadakan pada tahun hadapan.

Selain isyarat itu, tarikh sebenar PRU-13 yang dinanti-nantikan ramai terus menjadi teka-teki kerana menurut mereka, Presiden UMNO itu tidak menyatakan secara khusus bila ia akan diadakan.

Salah seorang perwakilan yang ditemui itu, Datuk Razali Idris yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Marang berkata, sebaliknya Perdana Menteri memaklumkan PRU-13 boleh diadakan pada bila-bila masa selagi dibenarkan di bawah Perlembagaan negara.

''Perdana Menteri memberitahu yang PRU-13 tidak akan berlaku bulan Disember. PRU-13 mungkin akan berlaku bulan Januari, Februari, Mac, April atau tambah lagi masa mengikut (yang dibenarkan) Perlembagaan negara,'' katanya.

Majlis Taklimat Presiden yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) selama kira-kira sejam itu dihadiri seramai 5,447 perwakilan dari seluruh negara.

Sementara itu, Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Muhd. Khairun Aseh yang turut ditanya mengenai perkara tersebut mengakui Najib memberi gambaran PRU-13 tidak mungkin diadakan pada tahun ini.

''Saya rasa semua menantikan (PRU-13) tahun depan dan bukan tahun ini,'' jelasnya ringkas sambil enggan mengulas lanjut mengenal hal berkenaan.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Idris Jusoh yang ditemui pemberita selepas majlis itu turut mengesahkan mengenai perkara tersebut.

''PRU-13 dikatakan (Perdana Menteri) tahun depan, Januari mungkin, Februari mungkin, Mac dan April..selepas April ada 60 hari lagi," ujarnya.

Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed pula berkata, berdasarkan isyarat yang diberikan oleh Perdana Menteri dalam ucapannya, mungkin pilihan raya umum akan diadakan tahun depan.

Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, mandat kerajaan yang ada sekarang akan tamat pada 28 April 2013.

Dalam laporan media sebelum ini, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar memaklumkan Parlimen akan terbubar secara automatik jika Yang di-Pertuan Agong tidak membubarkannya sebelum tarikh itu.

"Selepas itu, SPR diberi tempoh 60 hari untuk mengadakan pilihan raya umum bagi membentuk kerajaan baru. Perkara sama terpakai untuk Dewan Undangan Negeri (DUN)," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment