My Add

Wednesday 28 November 2012

Formula Malaysia kekal aman
 
 *MUHYIDDIN Yassin mengangkat tangan semasa sesi bergambar bersama delegasi dari luar negara selepas menutup Forum Antarabangsa UMNO 2012 sempena Perhimpunan Agung UMNO di PWTC, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/DJOHAN SHAHRIN SHAH

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD dan HUSSAINI AMRAN 
KUALA LUMPUR 27 Nov. - Faktor kerjasama dan perkongsian kuasa semata-mata antara pemimpin- pemimpin daripada komuniti berbeza tidak mampu menjamin keamanan dan kestabilan sistem politik di sesebuah negara.

Sebaliknya Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, apa yang lebih penting setiap perkongsian kuasa hendaklah berasaskan kepada prinsip saling menghormati, persefahaman dan mengamalkan kesederhanaan dalam menangani sesuatu isu.

Beliau berkata, komitmen tidak berbelah bahagi juga perlu ditekankan dalam konteks memastikan keadilan sewajarnya diberikan kepada pihak-pihak terlibat.

"Walau apa pun faktanya sejak lima dekad lalu iaitu selepas negara mencapai kemerdekaan, Malaysia terus dikenali sebagai sebuah negara yang aman dan makmur. Ini adalah hasil konsep kesederhanaan yang diamalkan di Malaysia dalam kehidupan masyarakat pelbagai kaum.

"Ingin saya nyatakan usaha memperluaskan konsep kesederhanaan yang telah dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui Pergerakan Kesederhanaan Global telah mendapat pengiktirafan antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menutup Forum Antarabangsa UMNO kali ketiga sempena Perhimpunan Agung UMNO 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi forum tersebut yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Dalam ucapannya, Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri turut menyentuh kejayaan UMNO yang merupakan parti tunjang dalam Barisan Nasional (BN) mengekalkan keamanan dan kestabilan di negara ini.

Beliau berkata, kejayaan itu adalah hasil kerjasama, toleransi dan perkongsian kuasa membabitkan parti- parti dalam BN termasuk usaha mengelakkan sebarang konflik.

Selain itu, tambah beliau, kejayaan tersebut juga adalah hasil kepatuhan terhadap prinsip-prinsip dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Sehingga kini, kita berjaya mengelakkan sebarang konflik daripada berlaku. Kita mengambil pendekatan ini kerana mahu melindungi rakyat daripada sebarang ancaman keganasan dan kemusnahan," katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut menekankan kepentingan menangani konflik bagi mengelakkan krisis di peringkat serantau. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment