My Add

Thursday 1 November 2012

Hakim diminta bertegas berhubung penangguhan kes

PUTRAJAYA, KHAMIS, 01 November, 2012: Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria mengingatkan para hakim dan pegawai kehakiman agar bertegas serta mematuhi garis panduan yang dikeluarkan ketika memberi pertimbangan terhadap permohonan penangguhan kes.

Beliau menyatakan, alasan bahawa peguam terlibat dalam kes lain di mahkamah berbeza atau bercuti mahupun menghadiri seminar, tidak mewajarkan penangguhan dibenarkan.

Tegas Arifin, para peguam pula terikat untuk mematuhi Kaedah-Kaedah Profesion Undang-Undang (Amalan dan Kesopanan) 1978 yang menghendaki mereka untuk tidak menerima sesuatu kes melainkan benar-benar yakin dapat hadir pada tarikh yang telah ditetapkan.

Beliau berucap pada upacara angkat sumpah jawatan dan taat setia sempena pelantikan empat pesuruhjaya kehakiman yang baru di Istana Kehakiman di sini.

Mendahului senarai pelantikan, Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Datuk Hashim Hamzah, 50, dan dua pegawai kanan Jabatan Peguam Negara (AGC) iaitu Datuk Wira Kamaludin Md. Said, 54, dan Datin Azizah Nawawi, 50.

Kamaludin merupakan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan AGC manakala Azizah merupakan Ketua Bahagian Guaman.

Yang turut dilantik ialah Ketua Pengarah Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP), Jabatan Perdana Menteri (JPM), Wong Chiang Kiat, 55. - UTUSAN.

No comments:

Post a Comment