My Add

Friday 2 November 2012

Jangan rasis, majikan diberi amaran

KUALA LUMPUR, JUMAT, 02 November, 2012:Majikan di negara ini diingatkan supaya tidak mengamalkan diskriminasi kaum dalam proses pengambilan pekerja.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S.Subramaniam (gambar) berkata, majikan perlu bersikap terbuka dengan tidak meletakkan syarat-syarat tertentu yang menghalang mana-mana kaum daripada menyertai organisasi mereka.

"Sekiranya ada bukti diskriminasi belaku, kementerian boleh mengambil tindakan terhadap majikan berkenaan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perpustakaan Batu Caves di perkarangan Kuil Sri Subramaniar Swamy di sini hari ini.

Dr Subramaniam mengulas laporan sebuah portal berita mengenai satu kajian berhubung kecenderungan majikan Malaysia memihak kepada pemohon kerja daripada kaum tertentu berbanding kaum lain.

Tambah beliau, kementerian akan meneliti asas kajian itu sebelum mengambil apa-apa tindakan lanjut sekiranya perlu.

Pada majlis itu, Dr Subramaniam menyumbangkan buku kepada perpustakaan berkenaan yang kini mempunyai hampir 6,000 judul buku dalam bidang literasi bahasa Tamil dan keagamaan.

Beliau mencadangkan kuil-kuil lain di seluruh negara mencontohi kuil di Batu Caves dalam menyediakan perpustakaan untuk meningkatkan pengetahuan pengunjung terutama generasi muda. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment