My Add

Friday 2 November 2012

Kumpulan pertama jemaah haji menerusi penerbangan MAS tiba di KLIA

SEPANG, JUMAAT, 02 November, 2012: Penerbangan pertama Malaysia Airlines (MAS) yang membawa pulang jemaah haji ke tanah air menerusi pesawat MH8201 selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira 11 pagi ini dengan membawa 447 jemaah.

Pengarah Perkhidmatan Pelanggan MAS, Datuk Salleh Ahmad Tabrani berkata, mereka adalah antara 15,000 jemaah yang menggunakan perkhidmatan MAS untuk ke Tanah Suci daripada 28,000 jumlah keseluruhan jemaah Malaysia.

Katanya, pada musim haji kali ini MAS menyediakan 37 penerbangan pergi dan balik dari Arab Saudi ke Malaysia iaitu 21 penerbangan dari KLIA, lima penerbangan masing-masing di Pulau Pinang dan Johor Bahru serta dua masing-masing di Kuala Terengganu, Kota Kinabalu dan Kuching.

"Penyediaan penerbangan terus ke beberapa negeri adalah antara usaha MAS untuk memastikan jemaah dapat pulang lebih selesa ke negeri masing-masing," katanya sebelum ketibaan kumpulan pertama jemaah haji Malaysia yang menggunakan pesawat MAS di KLIA hari ini.

Menurutnya, penerbangan pulang jemaah menggunakan pesawat MAS bermula hari ini dan dijangka berakhir 29 November.

Selain itu, katanya, MAS turut menempatkan sejumlah petugas di Jeddah serta pasukan khas di KLIA dan lapangan terbang negeri bagi memastikan urusan pulang jemaah haji berjalan lancar.

Salleh berkata, secara keseluruhan pihaknya berpuas hati dengan urusan penerbangan jemaah haji tahun ini tanpa berlakunya sebarang masalah teknikal dan operasi hasil komitmen MAS serta bantuan daripada pelbagai pihak.

"Ini adalah lambang komitmen kita dalam menyediakan mutu perkhidmatan terbaik sejak menyediakan khidmat ini sejak tahun 1974," katanya.

Sementara itu, seorang daripada jemaah haji yang ditemui Mohd Norsafuan Idris, 25, dan abangnya Mohd Norhaedir, 29, adalah antara yang bertuah kerana dapat mengerjakan haji pada usia muda.

"Kami pergi berdua sahaja kerana ibu bapa sudah menunaikan ibadat haji. Inilah berkat usaha ibu bapa yang mendaftarkan kami untuk menunaikan haji lebih awal iaitu pada tahun 2003," katanya yang bekerja di sebuah syarikat swasta.

Mohd Norsafuan berkata, mereka yang berkemampuan menunaikan haji pada usia muda perlu merebut peluang itu kerana mengerjakan haji memerlukan kekuatan fizikal dan mental yang mencukupi.

Bagi Nor Najihah Mohd Nor, 29, beliau bersyukur kerana dapat menemani ibu bapanya Mohd Nor Md Yasin, 58, dan Naemah Abdul Majid, 63, ke Tanah Suci.

Apabila ditanya perasaannya sebaik tiba di Tanah Suci, pekerja syarikat swasta itu berkata ianya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

"Ini kerana saya pernah mengerjakan umrah. Tetapi perasaan mengerjakan haji begitu berbeza sekali. 1,001 rasa," katanya yang tinggal di Seri Kembangan.

Mohd Yaakob Ngah Jana, 76, yang berkerusi roda semasa mengerjakan haji menitiskan air mata sebaik ditanya pengalamannya di Tanah Suci.

"Saya sangat sayu melihat Kaabah di depan mata kerana sudah lama saya impikan untuk ke sana. Meskipun berdepan masalah kesihatan dan cuaca, itu tidak menghalang saya dan isteri Zulaiha Mohd Saie, 66, untuk beribadat," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment