My Add

Thursday, 1 November 2012

Malaysia terus bantu pelarian Syria

Oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH
SEPANG, RABU, 31 Oktober, 2012: Malaysia akan meneruskan misi bantuan kemanusiaan kepada pelarian Syria di Jordan dengan menyumbangkan karavan sebagai persediaan mereka menghadapi musim sejuk yang bakal melanda negara itu bulan depan.

Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, pihaknya akan bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membincangkan lebih lanjut keperluan pelarian terbabit esok.

"Dalam masa sama, kita juga sudah melantik penuntut Malaysia di Jordan sebagai ahli jawatankuasa untuk mengagihkan bantuan selanjutnya kepada mereka.

"Kita sudah tinggalkan selimut dan alat pemanas kepada 37,000 pelarian di sana untuk diagihkan manakala karavan itu pula untuk menggantikan khemah sedia ada," katanya ketika ditemui pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari ini.

Menurut Abdul Azeez, sumbangan khemah itu perlu memandangkan kebanyakan pelarian terdiri daripada kanak-kanak dan warga tua.

Dalam pada itu, beliau berkata, misi kali ini juga mendapat pengiktirafan daripada pelbagai pihak apabila menyifatkan Malaysia sebagai negara kebajikan yang komited membantu negara-negara sedang dilanda musibah dan bencana.

Mengulas detik cemas anggota misi diserang ketika melawat kem pelarian Zatari di Jordan, katanya, insiden tersebut berlaku disebabkan baju yang dipakai anggota misi mempunyai lambang bendera Syria.

Bagaimanapun, Abdul Azeez berkata, kejadian itu tidak mendatangkan sebarang kecederaan kepada anggota misi malah tidak mematahkan semangat mereka untuk meneruskan misi kemanusiaan.

"Sejurus kejadian itu kami pulang ke hotel dan terpaksa menunggu baju baharu yang mempunyai lambang Malaysia supaya pelarian-pelarian tidak bertindak di luar dugaan kepada anggota misi.

"Dan selepas itu ketibaan kami disambut baik malah ada antara mereka yang mengalu-alukan kedatangan kami ke Syria selepas keadaan di sana kembali aman," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment