Pelabur asing lari jika pemerintahan bertukar
KUALA LUMPUR, SELASA, 27 November, 2012: Pelabur asing dijangka mengambil sikap berhati-hati untuk memasuki pasaran Malaysia seandainya berlaku perubahan pemerintahan negara pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang dijangka diadakan pada tahun depan.
Ketua Pegawai Pelaburan Ekuiti Eastspring Investments Bhd., Yvonne Tan berkata, kekhuatiran itu timbul kerana para pelabur asing khuatir dengan ketidaktentuan pasaran tempatan dan dasar-dasar baharu yang bakal diwujudkan.
"Pasaran tidak menentu adalah sesuatu yang tidak baik bagi pasaran ekuiti sehingga mereka berpendapat masa yang sesuai untuk memasuki pasaran semula," katanya selepas taklimat Tinjauan Bon dan Ekuiti Malaysia 2013 di sini hari ini
Bagaimanapun, kebimbangan itu tidak akan wujud sekiranya Malaysia terus dipimpin di bawah Kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana memiliki trek rekod dan dasar-dasar yang diterima.
Malah, Tan cukup yakin pasaran Malaysia terus positif atas alasan dasar dan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang popular dan tidak pernah gagal.
Eastspring Investment Bhd. yang merupakan ahli Prudential plc United Kingdom (UK) meramalkan pilihan raya umum akan diadakan pada bulan Mac, suku pertama 2013, selepas perayaan Tahun Baru Cina dan musim tengkujuh di beberapa buah negeri.
Tan berkata, dua pilihan raya sebelum ini juga diadakan pada bulan Mac, ketika cuti sekolah, kata nya yang mengambil sumber daripada Penyelidikan Nomura.
Ujarnya, pada kebiasaannya pelabur asing bimbang berlaku perubahan dalam kerajaan terutama ketika projek-projek sedang dilaksanakan.
"Perubahan pemerintahan boleh menyebabkan projek dihentikan atas sebab polisi yang tidak seiring atau tidak mesra pasaran.
"Kegagalan atau penangguhan projek yang sedang dijalankan boleh menjejaskan pelaburan yang dibuat dan tidak baik bagi pasaran itu," jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menjangkakan pertumbuhan ekonomi negara pada tahun depan diunjurkan berkembang antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus, seiring dengan unjuran kerajaan yang dipacu oleh pembelanjaan domestik dan perbelanjaan sektor swasta - UTUSAN
No comments:
Post a Comment