My Add

Wednesday 28 November 2012

Cabaran ekonomi dunia tingkat ruang kewangan Islam 

KUALA LUMPUR, SELASA, 27 November, 2012: Persekitaran kewangan dan ekonomi dunia yang mencabar pada waktu ini telah mencipta ruang peningkatan kepada sistem kewangan Islam di peringkat antarabangsa, kata Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz (gambar).

Beliau berkata, masalah itu juga telah menyebabkan kewangan Islam menjadi lebih penting dan berlakunya pembangunan sistem itu ke tahap yang lebih tinggi.

Jelasnya, peningkatan dalam pembangunan sistem kewangan Islam adalah perlu bagi memastikan kestabilan kewangan berterusan dan terus memberi sumbangan kepada ekonomi.

"Kita tidak harus berpuas hati terhadap sistem kewangan Islam yang berdaya tahan pada waktu krisis kewangan global.

"Sebaliknya, terdapat tiga imperatif (keperluan) sebagai penambahan kepada usaha bagi memastikan kestabilan kewangan dalam industri dan meneruskan pembangunan dalam sistem kewangan.

"Ketiga-tiga imperatif yang dimaksudkan adalah kejelasan nilai kedudukan kewangan Islam bagi memastikannya kekal sebagai pengantaraan kewangan, kedua, capaian kewangan Islam yang menyeluruh dan boleh diakses semua dan ketiga, penyebaran maklumat berkesan bagi menyediakan kemudahan yang menepati piawai serta berlaku proses harmoni dalam kewangan Islam itu sendiri,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pembukaan kolokium Akademi Syariah Antarabangsa untuk kewangan Islam (ISRA) kali kedua bertemakan Kewangan Islam dalam ekonomi yang mencabar: Terus bergerak ke hadapan.

Tambah Zeti, pengukuhan budaya dalam melaksanakan kajian dan penyelidikan dalam kewangan Islam terus menjadi sebahagian daripada usaha pembangunan industri.

Katanya, kerjasama yang baik juga amat penting bagi mencipta sinergi kepakaran hebat dalam melaksanakan kajian dan pembangunan dalam kewangan Islam.

"Inisiatif-inisiatif oleh persatuan industri yang bekerjasama dengan cerdik pandai dari institut penyelidikan tempatan dan antarabangsa bagi mencari capaian kajian global baharu akan memperkayakan potensi aktiviti pembangunan produk-produk dalam kewangan Islam,'' ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment