Perbaiki kelemahan MAHA 2012 - Pengunjung
KUALA LUMPUR, SELASA, 27 November, 2012: Di sebalik kemeriahan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2012) yang berlangsung sejak Jumaat lalu, ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki oleh pihak penganjur untuk memberi lebih keselesaan dan kemudahan kepada pengunjung ke pameran itu.
Tinjauan Utusan Malaysia di tapak pameran tersebut mendapati rata-rata pengunjung mengeluh berikutan kekurangan kemudahan trem dan jarak yang jauh, menyukarkan pergerakan mereka daripada satu laman ke laman lain.
Seorang pengunjung, Ahmad Daud Abdul Aziz, 51, berjalan kaki dalam cuaca panas menyebabkan dia dan keluarganya kurang selesa sepanjang berada di kawasan pameran tersebut.
"Kemudahan trem perlu diperbanyakkan memandangkan bilangan pengunjung meningkat setiap kali penganjuran MAHA.
"Jarak antara laman juga perlu lebih dekat, jadi pengunjung boleh terus berjalan kaki sahaja apabila trem penuh," katanya di sini hari ini.
Seorang lagi pengunjung, Zulkifli Muhamed, 40, berkata, walaupun penganjuran MAHA 2012 boleh dikatakan berjaya, namun, ada perkara perlu ditambah baik pada masa akan datang.
"Papan tanda masih menjadi masalah terutamanya bagi saya yang pertama kali berkunjung ke pameran ini, saya tidak dapat merancang kunjungan secara teratur," katanya.
Sementara itu, pekerja swasta, Ong Chee Keong, 38, berpendapat, laluan sekitar MAHA 2012 perlu dibuat arah sehala bagi melancarkan trafik.
"Saya lihat banyak kenderaan yang lalu lalang berdekatan laluan pejalan kaki terutamanya motosikal urus setia MAHA 2012, perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana membahayakan keselamatan pengunjung," katanya.
MAHA 2012 yang diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang bermula dari 23 November hingga 2 Disember ini. - UTUSAM
No comments:
Post a Comment